"Bimbang Diperdaya Jadi Keldai Dadah" - Sharifah Shahira Kongsi Detik Cemas Anak Hilang Ke Singapura
TERKINIBimbang anak diperdaya menjadi mangsa scammer membuatkan penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah, runsing mengenai nasib anaknya, Airell Zulkifli yang ke Singapura secara sembunyi-sembunyi baru-baru ini.
Pengacara itu berkata, dia bimbang kerana rakan dan kenalan itu boleh mengakibatkan ada kejadian tidak diingini menimpa anak lelakinya, Airell.
“Dia ambil pasport yang dah tamat tempoh dari simpanan saya pun senyap-senyap lepas tu dia pergi buat pembaharuan.
“Remaja berusia 18 tahun sekarang ini banyak di Kemboja sana yang terbabit sebagai keldai dadah.
“Jika dia pergi Singapura, ada orang letak dadah dan dia tak pulang buat selama-lamanya, macam mana perasaan saya sebagai ibu?” luahnya sambil menyeka air mata.
TAK TAHU ANAK KE SINGAPURA BERSAMA SIAPA
Menurut Sharifah, 48, keadaan itu berlaku gara-gara dia tidak dapat memantau siapa kenalan anaknya secara menyeluruh.
Tambahnya, Airell hingga kini masih menyembunyikan maklumat mengenai siapa kenalan yang pergi ke Singapura bersama-samanya.
“Apabila saya tanya di mana dia tak menjawab, minta berikan lokasi dia tak balas malah apabila saya buat panggilan, dia reject.
“Tapi naluri saya sebagai ibu kuat. Rasa tak sedap hati bila dia mengelak-elak pertanyaan saya.
“Sampai sekarang saya tak tahu siapa rakan dia... tambahan pula dia selalu main permainan dalam talian, entah dengan siapa dia berkomunikasi, ibu mana yang tak risau?” ujarnya.
KISAH TERBONGKAR RUPANYA ANAK TERLIBAT KEMALANGAN
Sharifah sebelum ini berkongsi berita anaknya terbabit kemalangan di Jasin.
Untuk rekod, Airell berada di Singapura pada 25 November lalu bagi menghadiri festival animasi tanpa memberitahu perkara sebenar kepada ibu dan bapanya.
Dia kemudian terbabit nahas kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres dengan treler di Kilometer 179, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Jasin, Melaka, pada awal pagi 27 November.
Media melaporkan seramai 16 daripada 27 penumpang termasuk warga Singapura cedera dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, kisah hanya terbongkar apabila Shahirah mendapati kesan luka di kepala Airell.
Sharifah bersyukur apabila anaknya itu selamat dan hanya mengalami cedera ringan.
PERKONGSIAN JADI PENGAJARAN
Mengulas lanjut, Sharifah berkata, tujuan dia berkongsi insiden itu agar kisah berkenaan dapat dijadikan pengajaran buat ibu bapa lain dan berharap mereka memantau pergerakan anak masing-masing.
“Ini pertama kali Airell berbuat begini. Saya pun bukan seorang ibu yang garang sampai dia takut nak berterus-terang.
“Ibu bapa kena ambil tahu pasal anak mereka. Begitu juga anak saya, lepas kejadian ini mereka wajib beritahu nak ke mana-mana.
“Itulah nak pergi ke luar negara tak beritahu, ini pengajaran apabila dah ada anak ni kena jaga walau dah besar, kena pantau dengan siapa dia berkawan,” jelasnya.