Genap Seminggu Kejadian Bot Terbalik Di Perak, Kali Ini Pelancong Asing Jadi Korban Kes Sama Di Semporna!

TERKINI
September 05, 2023 - 11:50 AM


Jika pada 28 Ogos lalu -- seorang wanita maut selepas menjadi mangsa kejadian bot rekreasi terbalik di Pantai Teluk Batik, Perak.

Genap seminggu insiden sama pula berlaku di Pulau Timba-Timba, Semporna, Sabah -- apabila seorang pelancong warga asing maut, manakala lapan yang lain berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka karam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu -- lelaki warga asing berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terperangkap di bawah bot yang terbalik.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, satu laporan polis pada jam 4 petang telah diterima membabitkan kejadian bot karam di perairan Timba-Timba dekat sini melibatkan sembilan pelancong asing.

"Kesemua mangsa yang memakai jaket keselamatan dalam perjalanan dari Pulau Mataking ke Pulau Timba-Timba untuk aktiviti snorkeling namun keadaan ombak yang kuat dipercayai menyebabkan bot mereka naiki terbalik.

"Salah seorang mangsa dipercayai terperangkap di bawah bot yang terbalik manakala lapan yang lain sempat diselamatkan oleh bot lain yang berpatah balik untuk membantu mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Pihak polis telah menahan empat lelaki terdiri seorang warga tempatan berusia 22 tahun dan tiga lagi warga asing berusia antara 26 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh memaklumkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan kepada pemilik bot supaya sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan bot dan menyediakan peralatan seperti jaket keselamatan dan sebagainya.

Sumber: Sinar Harian

Destination: