"Ingat Driver Mabuk Rupanya Budak!" - Budak 6 Tahun Curi Pandu Kereta Demi Nak Beli Mainan Terbabas Langgar Tiang

TERKINI
May 10, 2023 - 10:56 AM


Ingat tak masa kita kecik-kecik dulu, mesti ada je 'akal' nak buat sesuatu di luar jangkaan. Itu yang berlaku di Langkawi. Penduduk dikejutkan dengan insiden dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu sebuah kereta sehingga terbabas dan melanggar tiang lampu.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pada pukul 11.15 malam semalam. Mujur kanak- kanak terbabit yang memandu kereta jenis Toyota Vios hanya mengalami luka kecil pada dagu, manakala adik lelaki berusia tiga tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

@kaizoku0707 Mengalahkan Myvi..Budak 6 tahun rembat vios p kedai..sakan la 2 beradik ni 😂 alhamdulillah mereka selamat 🤲🏻 Tlg Simpan kunci kereta Baik3 ya #viral #langkawi ♬ original sound - Kaizoku0707 Shop

Beberapa video kejadian tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak malam semalam dan menerusi video itu, kereta terbabit didapati dipandu secara berbahaya sehingga pengguna jalan raya lain menyangkakan pemandu mabuk, namun terkejut apabila mendapati ia dipandu kanak-kanak.

Dalam video lain, kanak-kanak sama turut memberitahu bahawa dia mahu pergi ke kedai untuk membeli kereta mainan apabila ditanya penduduk yang berhenti untuk membantu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan telefon berhubung kejadian kira-kira pukul 11.15 malam tadi.

“Kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu kanak-kanak berusia enam tahun bersama seorang penumpang yang juga adiknya, berusia tiga tahun tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Kereta itu yang datang dari arah Ulu Melaka hilang kawalan dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berdekatan Titicawang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, dua beradik itu dipercayai keluar dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibu berada di dalam bilik air.

“Kanak-kanak itu dipercayai memandu pada jarak kira-kira 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001

Sumber: Kosmo

Destination: