Jom Bawa Anak-Anak Jumpa 'Puteri Elsa' Di Zoo Melaka, September Ini!

TERKINI
August 28, 2019 - 12:20 PM


Bulan September nanti banyak cuti hujung minggu yang berlanjutan hingga ke hari Isnin, di mana ia peluang terbaik untuk membawa anak-anak pergi bercuti.

Jika tiada idea untuk berjalan-jalan ke mana, apa kata anda bawa mereka melihat 'Elsa' iaitu seekor Harimau Putih Bengal betina yang akan dipamerkan di Zoo Melaka bermula 14 September depan, bersempena minggu Hari Malaysia.

Anak-anak anda pastinya teruja dan berasa seronok dapat melihat sendiri 'Elsa' yang berusia satu tahun sembilan bulan dengan berat 100 kilogram itu!

Usaha membawa Harimau Putih Bengal baka India itu adalah hasil kerjasama dengan Sunway Lagoon Wildlife Park dan dijangka bakal menarik lebih ramai pengunjung ke Zoo Melaka terutama pada musim cuti sekolah pada akhir tahun ini.

Bukan sahaja 'Elsa', malah Zoo Melaka juga sedang cuba mendapatkan seekor harimau putih jantan menerusi kerjasama strategik bersama Batu Secret Zoo di Surabaya, Indonesia pada September depan.

Jika usaha berkenaan berjaya, pengunjung Zoo Melaka akan menjadi antara individu bertuah apabila berpeluang melihat sepasang harimau putih yang jarang ditemui.



Zoo Melaka kini mempunyai 183 spesis haiwan dan 9 sembilan lagi haiwan baharu, termasuk singa jantan dan betina, badak air, seladang, tapir, gajah dan burung merak.

Sumber: Bernama