"Jual 'Dessert' Harga Seringgit" - Gerai Suami Isteri Ni Kena Serbu Di Ipoh, Perak!
TERKINISepasang suami isteri yang merupakan siswazah Diploma Ukur Tanah dari Politeknik Ungku Omar, di Ipoh, Perak tekad beralih bidang apabila membuka perniagaan kek dan krep bagi menampung ekonomi keluarga.
Tiada istilah menyesal bagi Mohd Roslan Ibrahim dan Teh Samrose Mahasan, masing-masing berusia 31 tahun kerana bidang perniagaan yang diceburi sejak 2018 itu membuahkan hasil memberangsangkan.
Lebih menarik, ibu bapa kepada tiga cahaya mata ini mengambil keputusan menjual kek dan pelbagai pencuci mulut Rahmah pada harga RM1 untuk dinikmati pelanggan pada hampir setiap petang, sejak seminggu lalu, di gerai mereka di Bercham, dekat Ipoh.
Perniagaan mereka dibuka Selasa hingga Ahad kecuali Isnin bermula 3 petang sehingga habis jualan.
Mohd Roslan yang pernah bekerja sebagai juruukur tanah selama enam tahun mengambil keputusan berhenti kerja setelah syarikatnya mengalami masalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membantu isterinya menjual kek dan pencuci mulut.
"Mulanya saya bekerja dan isteri membuat bisnes kecil-kecilan membuat kek keju dan durian krep serta menjualnya melalui ejen di seluruh Perak, tetapi selepas memikirkan kos hidup yang semakin tinggi kami bertekad membuka gerai dengan menjual 'dessert RM1', katanya ketika ditemui di gerainya, baru-baru ini.
Katanya, pada hari pertama berjualan, kek dan 'dessert' Rahmah RM1 laku seperti 'pisang goreng panas' dalam masa kurang setengah jam apabila perniagaanya tular di Facebook.
Justeru beliau meningkatkan barangan jualan supaya lebih ramai pelanggan dapat merasai kek dan dessertnya itu.
Teh Samrose yang juga memiliki ijazah dalam bidang pengaturcaraan berkata, seawal 2.30 petang pelanggan telah mula menunggu di gerai jualannya kerana mahu membeli kek dan desert berharga RM1 serta krep pelbagai perisa serendah RM2.50 yang sudah dikecilkan saiznya.
Bercerita lanjut, Teh Samrose berkata, idea menjual kek dan 'desert' RM1 hadir apabila memikirkan kos sara hidup kini yang semakin meningkat dan tidak semua pelanggan mampu membayar untuk memakan kek dan pencuci mulut dari kedai.
"Di sini dengan berbelanja RM10 atau RM20, pelanggan dapat membeli pelbagai kek, krep, donut dan pencuci mulut yang saya buat sendiri setiap hari untuk pelanggan yang setia menunggu sebelum kami membuka gerai lagi," katanya yang turut mempromosikan perniagaannya melalui Facebook Samrose Dessert and Crepe HQ.
Masing-masing berasal dari Pahang dan Terengganu, Mohd Roslan dan Teh Samrose mempelajari cara membuat kek dan krep melalui Youtube, dan kini mereka mampu menjual sehingga 40 biji kek sehari.
Walaupun menjual kek dan 'desert' berharga RM1, mereka masih boleh meraih keuntungan apabila kos upah dan mereka corak telah diserap.
"Buat kek ini kos banyak datang dari bahan, kos upah untuk mereka corak serta masa, tetapi kami tidak ambil upah itu, selain ambil gaji dan modal bahan, jadi kami boleh dapat untung sedikit walaupun menjual pada harga RM1," kata Teh Samrose yang menggunakan bahan-bahan premium dalam keknya.
Selain kek dan krep, gerainya turut menjual pelbagai menu minum petang seperti kuih, mi dan minuman, semuanya dijual pada harga Rahmah dengan dibantu oleh empat pekerjanya.
Sumber: BERNAMA