Kemasukan Pelancong Ke Pulau Komodo Bakal Dihadkan, Dengan Caj Masuk Lebih Mahal
TERKINISebelum ini Indonesia telah memutuskan untuk menutup sementara Pulau Komodo bermula 1 Januari tahun depan.
Terbaharu ada satu lagi peraturan dibuat pihak berkuasa negara itu yang mungkin membantutkan hasrat korang untuk berkunjung ke sana.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang melawat pulau tersebut semalam (Khamis) mengumumkan bahawa selepas ini jumlah kemasukan pelancong ke pusat percutian popular itu bakal dihadkan malah bayaran masuk juga akan dinaikkan.
Langkah itu adalah sebagai usaha pemuliharaan dan melestarikan semula Pulau Komodo, selain mengadakan integrasi di antara pulau berkenaan dengan Pulau Rinca.
"Kita ingin pastikan Pulau Komodo benar-benar dijadikan tempat pemuliharaan sehinggakan jumlah pelancong juga akan kita batasi, ada kouta untuk pelancong, bayaran juga mahal.
"Kalau tidak mampu bayar, tidak perlu ke sana (Pulau Komodo). Kalau memang mahu melihat komodo juga boleh sahaja ke Pulau Rinca," kata Jokowi.
Ribuan pelancong mengunjungi pulau di timur Indonesia itu setiap tahun, yang juga satu-satunya lokasi di dunia yang membolehkan biawak komodo dilihat secara semula jadi.
Pulau berkenaan menempatkan sejumlah 1,7000 ekor komodo, sementara di Pulau Rinca pula terdapat 1,040 ekor spesis biawak terbesar dunia itu.
Sumber: CBNC Indonesia
Baca juga: Komodo Island Indonesia Ditutup Kepada Pelancong Bermula Januari