Lagi Kes Harga Bil Di Restoran 'Seafood' Cecah Lebih RM1K, Kali Ini Di Sabah!
TERKINISeorang pemilik restoran makanan laut di Sabah berang apabila pelanggannya bertindak untuk tidak mahu membayar makanan yang dipesan sejumlah RM1,102.20 dengan alasan terlalu mahal.
Jelas pemilik restoran itu, pelanggan tersebut hanya membuat bayaran sebanyak RM400 dan terus keluar lari dari restoran terbabit.
Difahamkan pelanggan tersebut telah membuat pesanan makanan laut seperti ‘lobster king’, sotong goreng, dua set masakan ketam, ikan kerapu dah beberapa jenis minuman.
“Tiada alasan untuk tidak membayar sedangkam kita sendiri tahu apa menu yang dipesan. Apa pun alasannya harap segera membuat pembayaran selebihnya,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya, setelah hantarannya tular di sosial media, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga telah menjalankan siasatan di restoran mereka.
“Tiada masalah dan apa-apa yang mencurigakan di restoran kami,” tambahnya.
Rata-rata pengguna media sosial turut mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pelanggan tersebut.
“Memang takut nak makan seafood di Sabah. Kalau tak ada bawa duit RM1,000 jangan lah berangan. Kalau kat Kuching memang aku berani,” komen seorang pengguna.
“Ingat, jangan malas masak. Lagi senang masak sendiri sedap puas hati jilat jari lagi tambah nasi lagi,” kata Sweet.
Salah seorang dari pihak keluarga tersebut tampil memberi penjelasan menerusi hantaran di Facebook. Menurut mereka, pihak restoran tidak memberikan maklumat yang cukup mengenai harga makanan yang dipesan.
Mereka turut mendakwa bahwa pelayan dari restoran tersebut adalah yang mencadangkan jenis makanan dan saiz yang harus dipesan. Selain itu, mereka juga mendakwa bahawa idea pembayaran 50/50 adalah cadangan dari pihak restoran sendiri, dan mereka telah membayar sejumlah wang sebagai tanda bersetuju dengan cadangan tersebut.
Pelanggan tersebut turut muatnaik rakaman video di mana pekerja di restoran itu sendiri menyatakan idea pembayaran 50/50.
Isu ini membuka pelbagai persoalan mengenai etika perniagaan dan tanggungjawab antara peniaga dan pelanggan. Apa yang jelas, komunikasi yang baik dan jelas antara kedua-dua pihak adalah kunci untuk mengelakkan salah faham berlaku.
Jika berlarutan dan tiada mekanisme kawalan harga makanan laut daripada pihak berkuasa, dibimbangi gelaran "Sabah Syurga Seafood" akan mula dipertikaikan pelancong dan akhirnya mengakibatkan imej Negeri Di Bawah Bayu itu buruk di mata pelancongan dunia!