Lombok Hab Baharu AirAsia Di Indonesia

TERKINI
May 03, 2019 - 01:57 PM


Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia semalam melancarkan hab baharu di Pulau Lombok yang menjadi antara destinasi pelancongan kegemaran rakyat Malaysia jika berkunjung ke Indonesia.

Hab Lombok baharu AirAsia ini adalah sebahagian daripada sokongan kepada usaha Kerajaan Indonesia dan Kementerian Pelancongannya untuk membangunkan Lombok sebagai salah satu daripada ’10 Bali Baharu’.

AirAsia juga memperkenalkan rekaan luar pesawat khas bagi menyokong promosi pelancongan Lombok yang memaparkan ilustrasi ikonik seperti Gunung Rinjani dan keindahan dasar lautan di kepulauan Gili yang terletak di tenggara Lombok.

Hab baharu ini bukan saja bertujuan bagi memulihkan kembali sektor pelancongan Lombok selepas dilanda beberapa siri gempa bumi sebelum ini, malah mengukuhkan lagi jaringan hubungan domestik dan antarabangsa, menghasilkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kepulauan tersebut.

Menerusi hab baharu tersebut, pesawat Airbus A320 AirAsia akan beroperasi bagi laluan Lombok ke Perth, Australia bermula 9 Jun nanti selain menghubungkan juga destinasi domestik seperti Jakarta, Yogyakarta dan Bali.

Data daripada Kementerian Pelancongan Indonesia menunjukkan bahawa AirAsia kekal sebagai penyumbang terbesar dalam membawa pelancong antarabangsa ke negara itu dengan kira-kira 3.2 juta kedatangan pelancong asing atau 25 peratus daripada semua pelancong antarabangsa ke Indonesia pada tahun lepas.

Dengan adanya dua pesawat AirAsia yang berpangkalan di Lombok, ia diharap membantu menggalakkan kedatangan lebih ramai pelancong dengan slogan ‘I Love Lombok’ ke hab baharu berkenaan.

Lombok menjadi hab kelima AirAsia di Indonesia selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali.

Sejak memulakan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Lombok pada tahun 2012, AirAsia telah menerbangkan lebih 1 juta pelancong antarabangsa ke pulau tersebut.

Berikut adalah jadual penerbangan AirAsia Lombok-KL & Lombok-Perth.

Sumber: Newsroom AirAsia

Destination: