Menyesal Besarkan 'Aset'! Wanita Ini Derita Sakit Kena Scam Pusat Rawatan Di KL
TERKINIModus operandi sebuah Pusat Rawatan Kecantikan di ibu negara ini mudah sahaja -- iaitu menawarkan khidmat rawatan murah kepada wanita kurang berkemampuan, namun menginginkan kecantikan secara ekspress.
Malang bagi salah seorang mangsa yang juga isteri kepada seorang ahli perniagaan apabila impiannya untuk memiliki payudara yang lebih besar dan cantik 'memakan diri'!
Ini apabila bukan payudara cantik yang didapati, sebaliknya terpaksa menderita selepas mengambil suntikan pada bahagian buah dadanya di sebuah pusat rawatan kecantikan tidak bertauliah di Kuala Lumpur.
Akibat suntikan itu -- payudara wanita tersebut menjadi bengkak dan lebam teruk.
Semua itu berlaku gara-gara wanita terbabit cuba mendapatkan khidmat rawatan kecantikan dengan bayaran murah.
PUSAT RAWATAN DIJALANKAN OLEH WARGA ASING
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan, Syamsul Badrin Mohsin yang memaklumkan bahawa mangsa telah membuat aduan kepada Jabatan Imigresen dengan memberitahu operasi pusat rawatan berkenaan dijalankan oleh warga asing.
Pihaknya telah membuat risikan yang lama sejak laporan diterima pada Februari lalu tetapi, setiap kali serbuan hendak dilakukan, premis terbabit tidak beroperasi.
Bagaimanapun, pihaknya telahpun berjaya membuat satu temujanji dengan seorang pekerja di premis terbabit untuk melakukan rawatan kecantikan menerusi kaedah penyamaran.
Pekerja terbabit telah pun bersetuju untuk membuat rawatan yang dijanjikan dan satu pasukan dari Bahagian Penguatkuasa Risikan Operasi dan ATIPSOM Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan diatur untuk melakukan serbuan.
Hasil daripada serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima individu iaitu dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 41 tahun merupakan pekerja di premis terbabit.
PERALATAN DAN BAHAN RAWATAN TIADA KELULUSAN KKM
“Dalam serbuan semalam kami telah menemui beberapa peralatan dan rawatan kecantikan yang mana suntikan menggunakan cecair dan juga kelengkapan membuat gigi yang dibuat tanpa kelulusn dan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kes ini kami akan semak semula dengan KKM, apa tindakan yang kami boleh buat. Bagaimanapun bagi imigresen, tahanan itu kami akan hantar ke depoh Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media.
Kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah peraturan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 19/63.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, agar berhati-hati untuk mendapatkan khidmat rawatan kecantikan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket seperti itu.
Sumber: Malaysia Gazette