Selepas Viral Muncul Dengan Topi Tutup Muka, Ustaz Kazim Bakal Jalani Rawatan Ke Arab!
TERKINIJika dahulu sebelum sakit yang didakwa terkena sihir buatan orang -- penampilan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias kelihatan biasa seperti ustaz atau penceramah agama lainnya yang sopan bersongkok.
Namun kini beliau yang sedang giat menjalani rawatan dan juga dinasihati doktor berikutan kulit wajahnya tidak boleh terdedah secara terus kepada cahaya matahari -- Ustaz Kazim yang juga popular dengan gelaran DUKE tampil dengan imej baharu seperti seorang pemancing.
Penampilan terbaharu beliau kini apabila memberikan ceramah agama adalah dengan menutup sebahagian besar mukanya memakai topi bercorak yang mempunyai kain penutup muka yang biasa digunakan untuk aktiviti riadah seperti memancing.
Pemakaian topi tersebut katanya bertujuan mengelak wajahnya daripada terkena cahaya matahari, selain terpaksa memakai bermacam-macam krim sebagai pelindung.
Ustaz Kazim juga ada memberitahu beliau membeli 3 pasang topi yang bercorak sama supaya dapat dipakai pada setiap sesi kuliah dan ceramahnya di Facebook.
Ini semuanya disebabkan beliau malu untuk bersemuka dengan orang ramai dan berpakaian begitu membuatkan kurang sedikit rasa geli dan jijik mereka terhadap dirinya.
Terkini, Ustaz Kazim yang dikatakan terkena sihir katak puru akan menjalani rawatan penyakit kulit yang dihidapinya sejak tahun lalu di negara Arab.
Beliau dijangka berangkat ke negara berkenaan pada September bagi menjalani rawatan selama 5 hari.
"Kalau dahulu bahagian kaki sahaja kini sudah satu badan hingga naik ke muka. Keluar rumah saya akan pakai lima lapisan bedak asas tebal untuk melindungi muka daripada cahaya matahari dan sebagainya.
"Kalau jumpa saya waktu siang, nampak elok kerana bedak. Saya masih dalam proses rawatan dan dalam masa terdekat akan ke luar negara di Arab. Setakat ini pergi lima hari namun bergantung kepada rawatan.
"Saya terima tawaran dari India, Turkiye dan negara Arab. Saya pilih Arab.
"Ramai pakar perubatan bantu saya setakat ini dan nampak banyak perubahan. Bahagian kaki dan badan sudah cantik serta kering lukanya.
"Kalau ada yang mengatakan saya menolak perubatan moden itu tidak benar. Saya menerima rawatan jantung dan diabetes di hospital termasuk rawatan ketika ini.
"Saya cuma katakan jangan ketepikan rawatan sunah. Saya tidak pernah tinggal habbatus sauda, madu lebah dan lain-lain sebagai salah satu usaha rawatan," katanya.
Penceramah popular itu berkongsi secara terbuka penderitaan penyakit misteri dialaminya menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan rasa sakit, gatal dan pedih, malah membuatkan beliau gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu.
Beliau mendedahkan terpaksa memakai solekan tebal untuk menutup masalah kulit wajahnya yang lebam dan akan berdarah secara tiba-tiba.
Selepas lapan bulan menderita kerana penyakitnya yang didakwa berpunca daripada perbuatan sihir, Ustaz Kazim memuat naik gambar muka dan tangannya yang mengalami masalah kulit di media sosial pada pertengahan Mei lalu.
Sumber: Sinar Harian