"Semua Yang Terbabit 'Malaikat', Saya Seorang Sahaja Tidak" - Zul Arifin Mengaku Bersalah Kes Video Panas

TERKINI
October 04, 2022 - 02:23 PM


Pelakon terkenal, Zul Ariffin membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan memuat naik hantaran bersifat sumbang di media sosial di mahkamah hari ini kerana tidak mahu membazirkan masa.

Beliau yang ditemui selepas pendakwaan di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor meluahkan rasa lega apabila semua proses dapat diselesaikan dengan baik.

Terdahulu, pelakon filem Sangkar itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

MENGAKU BERSALAH & DIDENDA RM30,000

Zul didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mahkamah menjatuhkan denda RM30,000 dan sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

“Mahkamah sudah jatuh hukuman dan sekarang saya kena selesaikan denda. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan kita pun tak nak panjangkan. Saya hanya mengaku bersalah disebabkan memuat naik.

“Saya tak nak bazir masa sesiapa jadi saya mengaku bersalah. Kalau saya tak mengaku bersalah perkara ini akan berterusan, saya tak nak hidup dengan rasa macam itu, jadi saya anggaplah ini kesalahan saya atas kelakuan saya.

“Saya juga bersalah dengan Allah, jadi saya ambil langkah berani untuk mengaku bersalah sahaja. Walaupun apa depan mata saya, saya hadap, alhamdulillah, Allah tak panjangkan benda ini dan saya terima hukuman ini,” katanya pada pemberita.

Pelakon Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 itu membayar denda di Mahkamah Sepang hari ini.

SEMUA YANG TERBABIT ADALAH 'MALAIKAT', SAYA SEORANG SAHAJA TIDAK

Dalam pada itu, Zul juga memaklumkan beliau tidak akan mengambil tindakan selanjutnya atas insiden tersebut kerana tidak mahu isu itu dipanjangkan lagi.

“Kita tak perlu bercakap pasal kebenaran, orang pun tahu sebab semua orang tengok. Tak mengapa, tiada tindakan lagi dari saya sebab lain yang terbabit semua malaikat, saya seorang sahaja yang tidak.

“Saya lega walaupun saya tak pernah masuk mahkamah tapi alhamdulillah dengan pasukan dan semua peguam yang memberi nasihat serta sokongan yang saya dapat. Terima kasih pada semua yang hadir. Saya sangat terharu sangat tapi saya akan ingat siapa yang tak sokong,” jelasnya.

LAIN KALI NAK MUAT NAIK GAMBAR SELFIE SENDIRI SAHAJA 

Sementara itu, ditanya mengenai pengajaran yang diterima daripada kejadian itu, Zul menasihatkan kepada semua pelakon di luar agar lebih berhati-hati apabila diminta memuat naik sesuatu hantaran bagi tujuan promosi.

“Kita semua akan melakukan kesilapan, saya nasihatkan jadikan perkara ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana. Pengajaran juga kepada semua pelakon-pelakon, kalau disuruh muat naik apa-apa tak payahlah akur sangat, betul tak?

“Berhati-hatilah, jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar selfie sendiri tak mengapa. Tak rugi apa pun,” katanya.

Terdahulu, Zul hadir ke mahkamah dengan memakai sut kelabu gelap serta pelitup muka tiba pukul 8.10 pagi diiringi ahli keluarga, dua peguam dan sahabat baiknya yang juga penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai.

Pada 18 Mac lalu, beliau yang juga pelakon filem J. Revolusi telah memuat naik adegan panas dalam drama bersiri berjudul “Perempuan Itu” di Instagramnya pada bulan Ramadan hingga mencetuskan keceman orang ramai.

Tindakan beliau memuat naik teaser drama bersiri itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sumber: Malaysia Gazette

 

Destination: