Tak Meriahlah CNY Januari Nanti, Limau Mandarin Naik Harga Katanya!
TERKINILebih kurang sebulan lagi, masyarakat Cina bakal menyambut Tahun Baru Cina pada 22 Januari depan.
Antara yang dapat kita rasai dalam sama-sama meraikan silaturahim muhibah ini adalah menerusi perkongsian manisnya buah limau mandarin yang banyak dijual pada sambutan Tahun Baru Cina.
Khabarnya bermula minggu ini pun buah limau mandarin yang menjadi ikonik sambutan Tahun Baru Cina akan berada di pasaran -- tetapi harganya dilaporkan bakal sedikit lebih mahal berbanding tahun lepas.
Lapor China Press, walaupun kos perkapalan telah menurun, tetapi hasil tuaian yang kurang juga telah mendorong kepada masalah kenaikan harga buah tersebut.
Presiden Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur, Chen Yu Mei berkata, pengeluaran limau mandarin berkurangan kira-kira 20 hingga 30 peratus.
Ia sekaligus menyebabkan harga untuk limau mandarin bagi semua saiz mengalami kenaikan harga.
“Faktor cuaca bagaimanapun membolehkan tuaian buah yang lebih manis,” katanya.
Menurutnya, kontena buah limau telah tiba di pelabuhan secara berperingkat sejak minggu lalu dan dijangka akan sampai ke pasar-pasar borong minggu ini.
Katanya, harga borong semasa untuk Lokam 4 kilogram adalah:
= RM18 untuk limau bersaiz M
= RM22 untuk saiz L
= RM28 untuk XL
Sumber: Malaysia Gazette