[VIDEO] "Free Palestine!" - Selamba Je Penyokong England Perli Wartawan Israel Di Piala Dunia

TERKINI
December 06, 2022 - 12:07 PM


Seorang penyokong England mengejutkan dunia sejurus kemenangan 3-0 pasukannya ketika menentang Senegal dalam perlawanan Piala Dunia di Qatar pada Isnin malam.

Ketika ditemubual oleh wartawan Israel yang disiarkan secara langsung, Harry Hatton, 23, menjerit sesuatu yang tidak disangka-sangka ketika ditanya sama ada Piala Dunia yang berprestij itu akan menjadi milik England.

"Sudah tentu, tetapi apa yang lebih penting, bebaskan Palestin (Free Palestine)," soraknya.

Wartawan terbabit dilihat menggelengkan kepala kerana kecewa dengan sorakan Hatton dan tiga rakannya - yang semuanya memakai baju England - bersorak untuk Palestin.

Sorakan itu dilakukan bagi memberi sokongan ke atas Palestin, negara yang masih dijajah oleh Israel.

Aksi Hatton dan rakan-rakannya mendapat sambutan daripada pengguna media sosial, yang rata-ratanya memuji sokongannya terhadap Palestin.

Hatton menerusi laman Twitter menulis: "Terima kasih semua. Saya tidak sempurna. Saya melakukan kesilapan. Semoga kita semua dapat maju bersama-sama dan saya gembira dapat memainkan peranan kecil untuk mengetengahkan isu ini."

Sementara itu, wartawan terbabit, Tal Shorrer mendakwa dia kononnya telah ditolak dan dihina oleh rakyat Palestin dan penyokong Arab lain semasa membuat liputan secara langsung dalam kejohanan itu.

Sebelum Piala Dunia bermula, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan bahawa, penyokong Palestin dan Israel dibenarkan melakukan penerbangan dari Tel Aviv terus ke Qatar buat kali pertama, bagi menyaksikan Piala Dunia tersebut.

Namun, Qatar - yang memberi sokongan kepada Palestin menegaskan bahawa, kebenaran laluan sementara kepada Israel adalah semata-mata bagi memenuhi keperluan FIFA dan bukannya langkah untuk mengadakan hubungan normalisasi.

Kerajaan Qatar juga memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang bentuk keganasan di Baitulmaqdis, Gaza atau Tebing Barat yang diduduki pada masa ini akan mengakibatkan pembatalan perjanjian termasuk penerbangan terus. 

Destination: