[VIDEO] "Fuhhh, Langsing Saiz XS!" - Penampilan Terkini Shuhada Makin 'Daring' Sejak Solo

TERKINI
September 15, 2023 - 11:52 AM


Nama bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri kembali menjadi sebutan ramai selepas berkongsi satu video di media sosial.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Instagram itu, Shuhada terlihat menggayakan satu dress hitam putih ketika bersiar-siar di sekitar ibu kota.

Berdasarkan kapsyen yang ditulis di hantaran tersebut, Shuhada difahamkan sedang mempromosikan satu produk minuman untuk melangsingkan badan.

Mengundang perbincangan hangat, ramai peminat yang mengaku tidak senang apabila melihat perubahan penampilan terbaharu ibu kepada dua anak itu.

Walaupun dipuji kerana berjaya menurunkan berat badan, para pengikut juga sempat memberi teguran terhadap cara pemakaian wanita itu yang semakin ketat.

Langsung tidak sesuai dengan imej wanita bertudung, ramai tidak setuju dengan tindakan Shuhada memakai pakaian sebegitu hanya untuk mempromosikan produk.

“Tahulah nak buat marketing. Tetapi tak perlulah pakai baju ketat-ketat semata-mata nak tunjuk bentuk badan itu,” kongsi seorang pengikut.

“Cantik Shu, dah kurus pakai longgar sedikit pun okay. Ini nampak ketat sangat. Semoga yang baik-baik saja untuk Shu dan anak-anak,” tegur peminat lain.

Untuk rekod, Shuhada dan Hafidz pernah bergelar suami isteri selepas mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum sah bercerai pada Februari lalu.

Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian ramai setelah Shuhada membuat pendedahan bahawa suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Susulan daripada pendedahan tersebut, Hafidz dilaporkan telah melafazkan cerai terhadap Shuhada pada 22 Februari lalu menerusi satu panggilan telefon.

Setelah melalui prosiding mahkamah yang penuh sensasi, hakim memutuskan bahawa lafaz dibuat Hafidz pada 22 Februari lalu itu disahkan mengikut hukum syarak.

Disahkan bercerai talak satu, keputusan itu dibuat Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Julai lalu dalam prosiding pengesahan lafaz cerai luar mahkamah.

Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.

Sumber: Malaysia Dateline