[VIDEO] "Tahulah Bawa Superbike, Tak Payahlah Bongkak" - Rider Bengang Motor Dialih Peniaga, Siap Doa Kedai Bangkrap Di Muar!

TERKINI
June 19, 2023 - 12:28 PM


Hanya kerana mengalihkan kenderaan yang menghalang perniagaan sebuah kedai di Muar, Johor, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi sanggup mendoakan peniaga tersebut bankrap.

Kejadian tersebut dirakam dan dimuat naik oleh pengguna Facebook Zahedy Zakaria yang mendakwa sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi atau big bike datang ke Muar untuk makan sate di sebuah kedai dan meletakkan kenderaan di kaki lima premis tersebut.

Katanya, selepas motosikal tersebut dialih, seorang penunggang motosikal daripada kumpulan berkenaan marah dan dipercayai ingin menumbuk peniaga tersebut kerana tidak puas hati dengan tindakan individu terbabit.

"Bila minta alihkan motor (dia) nak berang dan nak tumbuk orang pula, tak puas hati, cari pasal, tak takut dengan polis minta (dan) panggil polis datang.

"Nak tularkan kedai siap ambil video kedai, nombor plat kereta, inilah sikap segelintir penunggang motor berkuasa tinggi," katanya dalam hantaran berkenaan pada Ahad.

Video kejadian tersebut turut memaparkan lelaki berkenaan ketawa mengekek selepas mendoakan pemilik kedai itu bankrap dalam bisnesnya.

Difahamkan, pihak polis datang ke kawasan tersebut selepas menerima aduan berkenaan insiden terbabit dan meminta pemilik motosikal berkenaan mengalihkan kenderaan masing-masing.

Menerusi rakaman berbeza, walaupun penunggang motosikal berkenaan didakwa telah disaman oleh pihak polis, namun dia masih cuba melakukan provokasi terhadap peniaga tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berang dengan kelakuan sekumpulan penunggang motosikal tersebut yang tidak menghormati peraturan di tempat orang lain.

"Datang tempat orang biar beradab, ini kalau jumpa orang Johor (yang) baran 'mencecet' kau lari," kata Danish.

"Saman itu dia bayar celah gigi dia saja. Tapi maruah dan ego tidak boleh ditebus dengan wang ringgit," kata Fsandy Sandy Halim.

Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada apa-apa kenyataan daripada pihak polis berhubung insiden berkenaan.

Sumber: Majoriti

Destination: