Negeri Anda Berstatus PKPB & PKPP? Jom Melancong Sokong Kawasan Setempat Anda!

GAYA HIDUP
February 25, 2021 - 12:09 PM


Memandangkan sekarang ini Kerajaan telah memberikan sedikit kelonggaran untuk kita melakukan aktiviti pelancongan dengan pematuhan SOP yang ketat -- justeru orang ramai digalakkan sama-sama menyokong sektor pelancongan di kawasan setempat masing-masing.

Jika anda berada dalam radius kawasan yang berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) -- anda dibenarkan untuk mengunjungi lokasi tarikan ramai seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi yang telah diberi 'lampu hijau' untuk mula beroperasi pada kapasiti 50 peratus daripada keluasan premis.

Kebenaran sama turut diberikan kepada premis hasil seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

Namun bagaimanapun, jika anda dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Diperketatkan (PKPD) -- aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah masih tidak dibenarkan.

Meskipun begitu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menasihati orang ramai supaya melancong dengan selamat sambil menyokong penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tempatan untuk kembali bangkit.

“Jadilah pelancong yang bertanggungjawab dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa dan mempraktikkan amalan norma baharu.

“Insya-Allah, MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) akan terus bersama penggiat industri pelancongan dan kebudayaan tanah air untuk bangkit semula terutama dalam situasi yang mencabar ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Destination: