Tunaikan Umrah Tanpa Vaksin, Antara Punca Gelombang Omicron Di Malaysia

GAYA HIDUP
January 07, 2022 - 10:26 AM


Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila 14 peratus daripada 122 kes Omicron membabitkan jemaah umrah setakat Selasa tidak menerima suntikan vaksin.

Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya sedang meneliti alasan 17 jemaah terbabit mengenai perkara itu.

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard kerana hanya mereka yang divaksin saja sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan. Kita akan bincang dengan kementerian terlibat supaya agensi pelancongan dapat patuh dengan syarat kita letakkan.

“Kita juga sedang siasat sama ada mereka ini yang tidak menerima vaksinasi disebabkan faktor kesihatan atau memang enggan divaksinasi,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi dan konsulat di negara tersebut untuk memperketatkan SOP sedia ada.

“KKM bersama agensi berkaitan akan kemas kini SOP umrah termasuk pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi.

“Pemantuan status kesihatan, memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan dan memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas umrah serta melaporkan kes positif dan kontek rapat kepada KKM,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, KKM telah berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan berhubung penangguhan umrah.

"MOTAC akan bincang dengan agen-agen pelancongan untuk cari kaedah bagaimana dapat menjadualkan semula umrah.

“Kementerian Pengangkutan pula akan bincang penjadualan semula penerbangan yang tertangguh disebabkan keputusan penangguhan ini,” katanya.

Destination: