"Apa Sebenarnya Permainan Dia?" - Noh Salleh Mahu Hak Penjagaan Musa Sama Rata, Mizz Nina Pula Tarik Balik Tuntutan
HIBURANPenyanyi dan selebriti Islamik, Mizz Nina memutuskan memfailkan penarikan semula dua tuntutan terhadap bekas suami, Noh Salleh iaitu kes hak penjagaan penuh dan inter-parte (sementara) anak angkatnya, Musa.
Menurut peguam syarie mewakili Mizz Nina iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan, tiada proses sulh yang berlangsung hari ini dan esok anak guamnya akan hadir bagi mengesahkan perkara itu di hadapan hakim.
“Esok kes itu akan disebut di hadapan hakim untuk mengesahkan penarikan balik dua tuntutan tersebut.
“Jadi tiada proses sulh sebentar tadi sebab kami sudah mefailkan penarikan balik dan sulh dibatalkan sebab pihak plaintif tidak ingin meneruskan tindakan,” katanya.
Bagaimanapun Mizz Nina tidak hadir sebaliknya diwakili suaminya, Essam Muhammad dan seorang lagi peguam, Mahmud Abdul Jumaat. Tambah Fakhrul, dalam kes ini pihaknya sudah mendapatkan hak penjagaan sementara.
Sementara itu, Noh Salleh menafikan dia menculik Musa pada 19 Disember lalu seperti yang didakwa Mizz Nina.
Menurut Noh atau nama penuhnya Muhammad Noh Salleh, 39, dakwaan Mizz Nina yang menyatakan dia membawa lari Musa pada Disember lalu adalah tidak benar sebaliknya perkara itu sudah diketahui oleh bekas isterinya itu.
“Saya dah dapat surat penyerahan daripada ibu kandung Musa dan Nina tak boleh mendakwa saya menculik Musa.
“Saya tak culik musa, kalau saya culik, pasti saya akan sorokkan dia.
“Saya pergi Sabah sebab ada persembahan dan saya tunjuk Musa ada dengan saya. Saya mencari Nina dan ajak dia berbincang untuk menjaga Musa bersama-sama,” katanya kepada Kosmo! Online.
Noh juga menzahirkan rasa terkejut apabila bekas isterinya, Mizz Nina menarik semula kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara Musa.
“Saya terkejut, dia (Mizz Nina) minta saya datang mahkamah kemudian dia menarik kes. Ketika proses Sulh pun tiada apa yang terjadi. Jadi, tunggu esok (6 Februari) sebutan kes di hadapan hakim.
“Saya perlu menjawab tuduhan dia, tidak adil di sebelah pihak saya dan apa sebenarnya permainan dia? Saya mahukan kebaikan untuk Musa," ujarnya.
Vokalis kumpulan Hujan itu juga berulang kali menyatakan mahu hak penjagaan Musa dibahagi sama rata antaranya dengan Nina.
“Kalau boleh nak jaga sama-sama, mahu 50-50.
“Semua untuk kebaikan Musa. Musa bukan anak dia (Nina). Musa anak ibu kandung dia,” jelasnya
Di samping itu, peguam yang mewakili Noh iaitu Megat Syazlee Mokhtarom dan Muhammad Shamsyuar Jasmin berkata, tiada sebarang dokumen penyerahan dikemukakann.
“Dalam dokumen penjagaan itu ada dua nama, satu nama Noh dan satu nama Mizz Nina. Jadi tiada isu. Tiada dokumen penyerahan, hanya ada dokumen penjagaan.
“Dua-dua ada hak, isunya sekarang hak itu ada pada siapa. Siapa yang menidakkan siapa?” jelasnya.
Selain daripada isu hak penjagaan Musa, Essam pula ada mengeluarkan kenyataan berkenaan nama sebenar Musa yang pernah didedahkan oleh Noh sebelum ini.
“Itu bukan nama sebenar Musa.” tegasnya.
Perkara itu ditegaskan Essam susulan Noh pernah mendedahkan kononnya nama penuh anak angkatnya itu ialah Musa Mohammad Noh bin Abdullah.
“Saya di sini ingin menegaskan bahawa nama penuh Musa yang kononnya disebut dalam internet tempoh hari adalah tidak benar. Dia (Noh) telah memberikan informasi yang salah kepada semua.
“Namun begitu, saya enggan mendedahkan nama penuh sebenar Musa kerana ingin melindungi identiti dan maklumat peribadinya kepada umum,” katanya.
Sumber: Kosmo