Mizz Nina Dedah Noh Langgar Perjanjian, Ambil Musa Tanpa Izin Ketika Dia Di Luar Negara

HIBURAN
January 29, 2024 - 10:43 AM


Selepas lama berdiam diri berkenaan dengan isu yang membabitkan anak susuannya, Musa, selebriti popular, Mizz Nina akhirnya membuat kenyataan di Instagram.

Mizz Nina mendedahkan bahawa Musa dibawa keluar dari rumahnya tanpa keizinan dan pengetahuannya sehingga menyebabkan dia tidak dapat berjumpa Musa selama lebih tiga minggu.

"Boleh bayangkan anak berusia dua tahun dibawa keluar dari rumahnya? Ia suatu yang memberikan kesan trauma pada anak itu. Saya sangat tertekan dan risau dalam tempoh itu." katanya.

Dalam satu pertemuan dengan Harian Metro, Nina menjelaskan bahawa Musa dibawa keluar dari rumahnya  pada 19 Disember tahun lalu, ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

"Apabila mendarat, saya diberitahu bahawa Musa sudah dibawa keluar dari rumah oleh pengasuhnya yang saya ambil bekerja sepenuh masa. Semua ini terjadi ketika saya di atas kapal terbang. Tanpa keizinan dan pengetahuan saya.

"Boleh bayangkan apa yang saya rasa bila  mendarat? Dari situ saya terbang pulang ke Kuala Lumpur dan di situ juga saya dapat tahu Musa bersama bekas suami. Selama lebih tiga minggu saya tidak tahu di mana Musa berada. Kami tidak berhubungan dengan Musa, tiada apa-apa," katanya kepada Harian Metro.

Susulan itu, Nina yang memiliki semua dokumen sah berkaitan anaknya menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan Musa kembali. 

"Kami semua sangat risau akan keselamatannya, ibu bapa saya dan semua orang. Ia adalah satu pengkhianatan. Jadi satu-satu caranya untuk mendapatkan dia kembali adalah dengan menggunakan saluran undang-undang.

"Kami mempunyai dokumen yang lengkap, dan juga segala yang berkaitan syariah. Disebabkan itu kami mendapatkan perintah mahkamah dan Alhamdulillah, saya dapat Musa kembali.

"Apa yang menjadi persoalan, mengapa bekas suami tidak mengambil Musa dengan cara yang betul di sisi undang-undang? 

"Sebab dia tidak mempunyai dokumen yang lengkap dan memilih cara yang salah iaitu merancang dan menunggu saya tidak ada dalam negara, dan mengambil Musa. Memanipulasi dan merancang serta tidak jujur, tapi tiada siapa tahu semua ini," katanya.

Selain daripada itu, Nina juga mendedahkan Noh Hujan telah melanggar perjanjian dengan memuat naik foto wajah Musa di media sosial.

"Sebelum ini saya tidak pernah berkongsi wajah Musa untuk tatapan umum. Kalau saya muat naik gambarnya sekali pun, saya tidak dedahkan wajahnya," katanya lagi.

Dalam pertemuan itu juga, Nina berkata buat masa ini dia tidak ada apa-apa tuntutan ke atas bekas suaminya, selain mahu berkongsi keadaan dan perkara sebenar mengenai apa yang berlaku.

 

Sumber: Instagram & Harian Metro

Destination: