Siti Nurhaliza Mohon Maaf, Umum Tiada Penambahan Hari & Tiket Konsert

HIBURAN
January 09, 2024 - 10:56 AM


Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah membuat satu pengumuan yang mungkin akan melukakan hati peminatnya, Siti Zoners berkenaan dengan penambahan hari dan jumlah tiket untuk konsert "Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza" yang bakal berlangsung 9 Mac ini.

Dalam satu sidang media khas mengenai konsert tersebut, penyanyi tersebut memohon maaf kerana tidak dapat menambah hari dan jualan tiket setelah mempertimbangkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Tidak ada pengumuman baru hari ini. Saya minta maaf tidak dapat tambah hari dan jualan tiket. Saya dan pasukan sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin dapat tambah hari.

"Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai konsert itu," jelasnya.

Untuk info, tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza telah habis dijual dalam tempoh dua jam dan disebabkan itu, ramai peminat mencadangkan agar bintang tersebut menambah tiket ataupun hari konsert.

Namun begitu, masih ada berita baik buat Siti Zoners apabila penyanyi lagu Cindai itu memaklumkan akan menganjurkan konsert seterusnya selama dua hari.

"Saya mohon maaf ramai tidak berkesempatan sebab tiket sudah habis dijual. InsyaAllah konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari.

Dalam pada itu, Siti juga memaklumkan Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tambah Siti, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di Palestin.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 9 Mac 2024.

 

Sumber: Instagram & Asto Awani

Destination: