Arafah: Keistimewaan Yang Perlu Direbuti Umat Islam

ISLAMIK
June 13, 2024 - 09:48 PM


Dalam kalender Islam, Zulhijjah adalah bulan terakhir dan termasuk antara empat bulan haram yang dinyatakan Allah di dalam al-Quran. Kehadiran Zulhijjah juga amat dinantikan oleh umat Islam terutama mereka yang sudah bersedia dalam segala seginya untuk menyahut seruan Ilahi dalam melaksanakan ibadat haji. 

Di dalam bulan mulia ini, terdapat satu hari yang dikatakan antara hari yang paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu hari Arafah. 9 Zulhijjah setiap tahun iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha dipanggil sebagai hari Arafah.

Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, mereka dianjurkan berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut sebagai mana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya." (Hadis riwayat Muslim)

Kemuncak daripada itu, Hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari tersebut daripada api neraka. Oleh kerana itu, hari keesokannya adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam bagi menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran ke hadrat Allah taala. 

Sebagai umat Islam, hari Arafah adalah hari istimewa untuk beramal yang tak boleh dilepaskan. Ini kerana, terdapat banyak keistimewaan hari tersebut. Antara keistimewaan hari Arafah adalah: 

  1. Sebahagian daripada Rukun Haji.

    Pentingnya Hari Arafah adalah ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji.
     
  2. Hari kesempurnaan agama.

    Di Arafah inilah Rasulullah S.A.W telah menyampaikan Khutbah Wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.

    Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Ma’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W:

    “…Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” 

    [Al-Ma’idah: 3]

  3. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

    Daripada Uqbah bin Amir R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

    “Hari Arafah, hari korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” 

    [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

  4. Hari Arafah adalah hari penyaksian.

    Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah S.W.T mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

    Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu di hadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi,” yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) mengenai (hakikat tauhid) ini.” 

    [Riwayat Ahmad]

  5. Kedahsyatan doa pada Hari Arafah.

    Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad S.A.W mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

    Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

    “Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.” 

    [Riwayat al-Tirmizi (3509)]

  6. Ganjaran puasa Arafah.

    Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

    Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya mengenai puasa pada Hari Arafah:

    “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. 

    [Riwayat Muslim (1977)]   

  7. Hari keampunan.

    Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.

    Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

    “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” 

    [Riwayat Muslim (2402)]  

 

Sumber: Harian Metro & Mufti Wilayah

Destination: