"Diharuskan Syarak" - Mufti Jawab Isu Renjis Air Ruqyah Pada Kenderaan

ISLAMIK
May 02, 2024 - 12:07 PM


Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai video seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air ke kereta hingga menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen. 

Isu tersebut mendapat perhatian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memberi penjelasan bahawa hukum merenjis atau membilas kenderaan dengan air dibaca ruqyah mengandungi ayat al-Quran dan zikir adalah dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. 

"Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kemalangan dan penyakit ain.

"Berkaitan penyakit al-ain, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ini sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi,” katanya. 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menjelaskan bahawa sebahagian ulama menyebut penyakit ‘ain juga menimpa kepada haiwan dan benda-benda tidak bernyawa seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya.

"Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit Ain seperti membaca ruqyah dan doa," katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengatakan bahawa memandikan atau membilas dengan air adalah satu ikhtiar lain untuk melindungi diri daripada penyakit Ain.

"Ia berdasarkan sabda Nabi SAW 'jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi'.

"Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya," katanya.

Tambah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan membaca ayat Al-Quran, zikir dan ta’awwudz kemudian merenjis pada sesuatu tempat atau barang adalah dibenarkan oleh syarak dan bukan khurafat.

"Selain itu juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Nabi SAW dan sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak.

"Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan sahabat tidak melakukannya," katanya. 

Sebelum ini, video yang menunjukkan sebuah kereta direnjis dengan air oleh seorang ulama telah menimbulkan tanggapan buruk orang ramai kerana menganggapnya khurafat dan tidak dilakukan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat. 

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah PerdekutuanHarian Metro & X

Destination: