Syaaban: Kelebihan & 5 Amalan Yang Boleh Dilakukan Sebagai Persediaan Sebelum Ramadan

ISLAMIK
February 15, 2024 - 03:04 PM


Sedar tak sedar, kita sudah pun berganti bulan daripada Rejab ke Syaaban. Tidak lama lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan. Namun, sebelum kita memasuki bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa itu, apa kata kita menerokai kelebihan bulan Syaaban.

Buat yang tidak tahu, Syaaban adalah bulan diangkatnya segala amalan manusia kepada ALLAH SWT. Itulah kelebihan yang paling utama tentang bulan ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Pada bulan inilah amal perbuatan manusia diangkat kepada Rab (Tuhan) semesta alam.“ (Hadis Riwayat an-Nasa‘i)

Berdasarkan hadis itu dan beberapa nas lain yang sahih, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah berkata, jelaslah bahawa apa sahaja amalan yang dikerjakan oleh seorang hamba akan diangkat dan dibentangkan kepada Sang Pencipta.

Banyak sebenarnya kelebihan yang terkandung di bulan Syaaban, namun ramai antara kita yang masih terleka dalam merebut kesempatan ini, sehinggakan disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW:

ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Itulah bulan (Syaaban) yang mana ramai manusia melalaikannya, iaitu bulan yang berada di antara bulan Rejab dan Ramadan. Saat itu amal manusia diangkat kepada Tuhan semesta alam. Maka aku suka jika amalku diangkat ketika aku sedang puasa.” (HR an-Nasaie, hadis hasan)

Istimewanya Syaaban apabila Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Maarif menggelarnya sebagai ‘pembukaan bulan Ramadan‘.

Jelas Mohamad Hadi, maka tidak hairanlah andai bulan kelapan dalam kalendar Islam itu disyariatkan dengan pelbagai amalan sebagaimana dilakukan apabila tibanya bulan puasa.

Jadi, sebagai umat Islam, janganlah kita lepaskan peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat. Ini dia 5 Amalan yang boleh dilakukan pada bulan Syaaban:

1. Solat diawal waktu & Memperbanyakkan solat sunat

Jika sebelum ini kita selalu solat dihujung-hujung waktu, apa kata di bulan ini kita cuba solat diawal waktu. Bukan sahaja membuatkan kita berasa lapang dan tenang, solat diawal waktu juga membolehkan kita mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah.

2. Banyakkan istighfar kepada ALLAH S.W.T

Antara lafaz istighfar yang boleh diamalkan ialah sayyidul istighfar iaitu penghulu kepada segala istighfar. Ia mengandungi kalimah tauhid yang membesarkan Allah SWT dan mengakui diri kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina.

3. Selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (HR Muslim, hadis sahih)

4. Membaca dan mentadabbur Al-Quran 

اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim, hadis sahih)

Tadabbur bermaksud menghayati dan mengambil iktibar daripada al-Quran untuk diamalkan.

5. Banyakkan doa dan bermunajat kepada ALLAH S.W.T 

Allah SWT juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya sepertimana yang terdapat dalam surah Ghafir ayat 60:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.

Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Surah Ghafir: 60)

 

Sumber: Sinar Harian & Harian Post

Destination: