Ustaz Don Sekali Lagi Nyatakan Hadis Tidak Bersumber, 'Direhatkan' Serta Merta Dari Salam Baitullah
ISLAMIKPendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Bijayid atau Ustaz Don tidak lagi mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, program yang berbaki empat episod itu tidak akan menampilkan pendakwah terbabit susulan kenyataan Ustaz Don di dalam program tersebut yang mendapat pertikaian orang ramai.
Bila dah bagi peluang, dah consult authority & ahli agama, dah remind apa yg boleh cakap & apa yg tak boleh, kenalah pandai anticipate response from viewers. Wisdom kena ada, kawalan diri kena mantap. Don’t play victim. So sorry have to rest u. Maaf semua, hang in there team.
— Suhaimi Sulaiman (@suhaimisulaiman) June 14, 2024
Sekali lagi, Ustaz Don Daniyal menyatakan hadis yang tidak mempunyai sanad atau sumber dalam program Salam Baitullah yang berlangsung malam tadi.
Menurut pakar bidang hadis, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, lafaz yang dinyatakan oleh Ustaz Don mengenai memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah tidak dapat dijumpai sanadnya.
Ujar Muhamad Rozaimi, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, setelah menyemak tiga nama kitab yang diberi oleh Ustaz Don, beliau mendapati hadis yang dibacakan dalam siaran langsung itu tidak ditemui asalnya dan tidak diketahui sanadnya.
“Sengaja saya minta nama kitab riwayat yang Ustaz Don bacakan dalan program siaran langsung semalam. Saya sudah menjangka pastinya Saudara Don akan memberikan nama kitab Lubab al-Hadith dan Tanqih al-Qaul al-Hathith.
“Dengan rujukan yang diberikan ini jelas saudara Don sememangnya percaya ini adalah hadis. Justeru, saya katakan hadis yang dia baca ini tidak ditemui asalnya. Tidak diketahui sanadnya.
“Bahkan kitab Lubab al-Hadith juga diragui adakah benar ia ditulis oleh Imam al-Suyuti. Rujuk tesis PhD Prof. Dr. Mustaqim dan hantaran Dr Khafidz Soroni yang meragui penisbahan kitab ini kepada al-Suyuti,” katanya.
Tambah Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), bagi kitab Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.
“Kesemua kitab yang Saudara Don berikan ini tidak menunjukkan hadis ini ada asalnya.
“Dengan kes penyebaran hadis tidak diketahui asal ini jelaslah bahawa saudara Don sememangnya tidak berhati-hati ketika menukil riwayat,” ujarnya.