5 Muzium Unik Di Malaysia

TRAVEL
September 17, 2019 - 01:21 PM


Sebelum ini, kami pernah kongsikan 5 muzium terbaik di dunia dan juga muzium kesenian yang cool di Asia. Sesuai dengan peredaran zaman serta ingin menarik lebih ramai pengunjung, muzium hari ini bukan sekadar fakta sejarah, artifak dan juga kesenian.

Di Malaysia sendiri misalnya, kita mempunyai pelbagai muzium yang sebenarnya unik dan sepatutnya menjadi tumpuan ramai. Malangnya, sesetengah dari kita hari ini tidak lagi membawa anak untuk ke muzium dengan alasan ‘membosankan’ atau pameran yang sama dari dulu lagi ataupun merasakan bayaran yang dikenakan tidak setimpal dengan pameran yang ada.

Kita tolak tepi semua faktor yang membosankan tersebut, jom kita tengok beberapa muzium menarik dan lain daripada yang lain di Malaysia.

#1. Muzium Kucing, Kuching

Muzium Kucing Kuching ini sememangnya satu – satunya di dunia dan terletak di Kuching, Sarawak. Walaupun ada pelbagai versi dan cerita mengenai asal usul nama Kuching tersebut, orang disini sudah serasi dan memilih kucing sebagai maskot bandar berkenaan.

Ditubuhkan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak dan isteri pada 1993, muzium ini menempatkan koleksi kesenian dan memorabilia yang bertemakan kucing, baik dari yang comel sehinggalah yang luar biasa. Walaupun teletak jauh dari pusat bandar, ia merupakan salah satu destinasi ‘wajib singgah’ untuk peminat – peminat kucing.

 

#2. Muzium Rakyat, Melaka

Muzium rakyat untuk siapa yang pernah sampai sememangnya sebuah muzium yang unik terletak di Melaka. Ia sebenarnya gabungan beberapa muzium ‘mini’ dibawah satu bumbung, di tingkat yang berlainan.

Sebagai penambahan daripada ruangan utama yang menceritakan banyak tentang etnik di Malaysia, budaya serta aktiviti sesebuah budaya di sini ada Muzium Kecantikan di tingkat 2 yang mana ia mempamerkan pelbagai persepsi ‘cantik’ dari seluruh dunia.

Muzium ini terletak di Jalan Kota dan ia juga berada berdekatan dengan beberapa muzium lain di kawasan tersebut.

 

#3. Wonderfood Muzeum, Pulau Pinang

Tak dapat dinafikan, Malaysia ni kaya dengan pelbagai jenis makanan tempatan dan kita patut berterima kasih kepada kepelbagaian budaya dan kaum yang terdapat di negara kita.

Didedikasikan untuk pencinta makanan, Wonderfoof Museum yang terletak di George Town, Pulau Pinang ini mempamerkan makanan dalam bentuk replika pelbagai saiz. Makanan yang dipamerkan semestinya makanan kegemaran rakyat Malaysia yang direplikakan menggunakan teknik yang digunakan di Jepun.

Dengan sususan warna yang menarik, pameran yang photo-friendly, tidak hairanlah muzium ini selalu mendapat kunjungan ramai. Baik dari dalam dan luar negara.

#4. Teddyville Museum, Pulau Pinang

Terletak di batu Ferringhi, lebih tepat berada di premis DoubleTree Resort by Hilton, Muzium Teddyville ini menceritakan secara terperinci sejarah ‘teddy bear’ selain menempatkan teddy bear lama yang sangat bernilai tinggi. Barang ‘rare’ kan.

Selain itu, galeri ini menceritakan sejarah Pulau Pinang menggunakan anak patung selain beberapa patung bear besar yang dibuat menyerupai beberapa ikon Pulau Pinang seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David serta Tan Sri P.Ramlee.

 

#5. Muzium Kapal Selam, Melaka

Walaupun tidak sepopular muzium maritime yang mempunyai replika berskala sebenar Flor de la Mar, muzium kapal selam yang terletak di Pantai Klebang ini membolehkan pengunjung menerokai kapal selam sebenar French Agosta 70 yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Secara tak langsung, pengunjung dapat belajar dan mengetahui fungsi kapal selam dan kebanyakan peralatan asal kapal selam seperti pelancar peluru berpandu, ruang enjin, peralatan komunikasi serta lain – lain lagi masih berada di tempat asalnya dan dipamerkan dalam kapal tersebut.

Jadi selepas ini, kalau ke Klebang tu, selain kena coconut shake, ape kata korang melawat muzium kapal selam ni sekali.

Ada yang kami lupa senaraikan? Kalau ada, masukkan diruangan komen ye... =D 

 

Destination: