8 Lokasi Eksotik Wajib Pergi Kalau Bercuti Ke Morocco

TRAVEL
September 06, 2019 - 11:39 AM


Bila sebut bab melancong, kebanyakan rakyat Malaysia suka untuk memilih destinasi percutian di negara-negara Asia dan Eropah.

Namun jarang sekali untuk kita memilih Maghribi atau lebih popular disebut Morocco, sedangkan negara ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri kerana meskipun secara geografinya ia terletak di benua Afrika Utara tetapi masyarakatnya persis orang Arab.

Berikut 8 lokasi menarik yang wajib anda singgah jika berkunjung ke Morocco, pasti percutian anda lebih berwarna-warni dan menjadi memori yang akan dikenang seumur hidup.

8 TEMPAT MENARIK YANG ANDA PERLU KUNJUNGI DI MOROCCO

1) RABAT

Sama seperti kebanyakan ibu negara lain di dunia, Rabat juga merupakan destinasi popular bagi pelancong. Ada dua daerah utama di sini, iaitu Bandar Baru dan Bandar Lama. Kalau anda nak luangkan dan enjoy masa anda dengan shopping, Bandar Baru adalah tempat yang perfect untuk anda. Anda juga boleh berehat sebentar di kafe-kafe terbuka di bandar ini sambil menikmati suasana Morocco.

Kalau anda meminati suasana yang lebih sibuk dan lebih bersejarah, Bandar Lama sangat padat dengan bazar Morocco dan juga merupakan tempat yang best dan menarik untuk diterokai. Selain itu, anda juga boleh observe cara hidup orang-orang di sana.

 

2) MARRAKECH

Marrakech adalah bandar yang paling popular di Morocco dan mungkin juga boleh jadi salah satu gateway anda untuk lihat banyak lagi benda di Morocco!

Bandar Lama Marrakech yang penuh bersejarah ini boleh digambarkan sebagai satu tempat yang akan menghuru-harakan deria anda. Haha. Suasana di sini bising dan sangat meriah, berwarna-warni, dan bau rempah-ratus serta makanan pastinya tidak akan dapat dielakkan.

Untuk pengalaman di Morocco yang autentik, enjoy dan nikmati je lah huru-hara tersebut. Kalau boleh, stay dalam kota tersebut di Riad tradisional mereka, dan pergilah membeli-belah di bazar mereka yang seakan-akan pagar sesat itu. Jangan tak jumpa jalan keluar sudah lah.

 

3) TOUBKAL NATIONAL PARK & JEBEL TOUBKAL

Dengan ketinggian 4,167 meter, pendakian ke puncak Jebel Toubkal semestinya bukan sesuatu yang mudah. Tapi Mat Salleh kata, “nothing good comes easy”. Dan anda pasti bersetuju dengan kata-kata ini di saat anda menikmati dan mengagumi pemandangan indah dari titik tertinggi pergunungan Atlas tersebut.

Kalau anda rasa macam tak mampu nak mendaki sampai ke puncak, taman negara itu sendiri sudah cukup sebenarnya untuk anda explore dan admire kecantikannya.

Taman negara yang terletak kira-kira hanya 70km daripada Marrakech ini adalah sebuah tempat yang best untuk anda melarikan diri sebentar daripada kesibukan kota.

 

4) ASILAH

Asilah adalah sebuah bandar pelancongan yang sangat popular dalam kalangan warga Morocco sendiri. Dah kalau orang-orangnya sendiri pun suka pergi ke Asilah, apatah lagi pandangan daripada pelancong luar, betul tak?

Daripada bangunan yang berwarna putih, seputih mutiara, ke pantainya yang cantik dan sehinggalah mural-mural berwarna-warni yang menghiasi dinding di bandar ini, Asilah boleh dikatakan sebagai salah satu permata Morocco yang tidak boleh terlepas daripada dilawati.

 

5) CHEFCHAOUEN

Bandar kecil di pergunungan Rif ini sangat terkenal sebagai sebuah bandar yang biru kerana rumah-rumahnya yang unik berwarna biru, yang sememangnya sangat lain daripada yang lain.

Kalau anda mahu meneroka bahagian semula jadi Morocco daripada sudut yang lebih kebandaran, Chefchaouen adalah tempatnya.

Anda akan dapat lihat pemandangan gunung-ganang dari hujung hampir setiap jalan yang ada di sini. Kalau itu pun belum mencukupi bagi anda, bolehlah cuba mendaki pula.

 

6) MEKNES

Kota empayar ini sebenarnya adalah ibu kota Morocco pada abad ke-17 ketika negara itu diperintah oleh Sultan Moulay. Makam Sultan Moulay masih lagi ada di sini dan telah menjadi salah satu tarikan utama di bandar ini pada hari ini.

Suasana di Meknes agak santai jika dibandingkan dengan Rabat dan Marrakech, jadi ianya adalah pilihan terbaik kalau anda mahukan sweet escape yang lebih relaxing di Morocco.

Anda juga boleh melawat runtuhan Volubilis yang merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

 

7) ESSAOUIRA

Essaouira adalah sebuah bandar kecil di tepi pantai yang penuh dengan mural berwarna-warni dan juga penghormatan lain kepada beberapa nama besar lagenda muzik seperti Jimi Hendrix dan Bob Marley.

Essaouira sememangnya merupakan sebuah bandar kecil yang indah dengan pelabuhan unik, sesuai untuk melepaskan diri daripada tekanan dan menenangkan diri daripada kehidupan seharian yang meletihkan.

 

8) MERZOUGA

Untuk pengalaman yang lebih unik dan lain daripada yang lain, jangan lepaskan peluang untuk ke Erg Chebbi, iaitu salah sebuah kawasan di gurun berpasir Sahara.

Di sini anda akan menemui Merzouga, sebuah bandar kecil yang mampu menawarkan anda untuk merasai kehidupan sebenar orang-orang Badwi, iaitu orang-orang dari Timur Tengah yang berbahasa Arab dan hidup secara nomad.

Antara cara yang paling best untuk anda terokai dan betul-betul menikmati Merzouga adalah dengan menunggang unta. Pastinya akan menjadi pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan di Morocco!

Sumber: TMPL Backpackers

Destination: