G7 Impian Si Pendaki Gunung Tegar!
TRAVELSejak kebelakangan ini, semakin ramai yang bertukar kerjaya menjadi ‘pendaki gunung tegar’.
Bagi korang yang pernah berjaya menawan sebuah puncak gunung, mesti korang rasa ketagih untuk daki gunung-ganang yang popular dan sering meniti di bibir para pendaki lain, kan?
Dan perkataan wajib yang korang dengar mesti pasal G7, betul tak? Tapi apa G7 tu?
Sebenarnya ‘G’ bermaksud gunung manakala ‘7’ pula mewakili ketinggian yang melebihi 7000 kaki.
Jadi, G7 adalah perlambangan untuk kesemua tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia!
Jom kita usha senarai G7 ini.
1. GUNUNG TAHAN, PAHANG (7175 Kaki)
Gunung ini satu-satunya gunung G7 yang terletak di luar Banjaran Titiwangsa dan merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia. Seperti namanya, bagi yang ingin menawan puncak Gunung Tahan perlu mempunya daya 'Tahan' yang tinggi dari segi fizikal dan mental. Selain faktor hutannya yang sudah berusia ribuan tahun dan sangat tebal untuk diredah, nak sampai ke kaki gunung saja pun perlu merentas sungai yang jauh dan tiada jalan masuk untuk kenderaan beroda kerana ia terletak dalam kawasan Taman Negara Pahang.
Terdapat tiga laluan (pergi balik) yang boleh digunakan untuk mendaki; (1) Kuala Tahan – Kuala Tahan (10 hari), (2) Kuala Tahan – Merapoh atau Merapoh – Kuala Tahan (5 hari), (3) Merapoh – Merapoh (3-4 hari).
2. GUNUNG KORBU, PERAK (7162 Kaki)
Gunung Korbu mempunyai puncak yang tertinggi antara semua gunung di sepanjang Banjaran Titiwangsa. Hutan yang tebal memberi cabaran besar kepada pendaki untuk sampai ke puncak. Apatah lagi, ada sesetengah kawasan bagai wujud perkampungan lintah dan pacat. Sukar untuk mengelakkan serangan penghisap darah tegar ini. Hampir mustahil untuk mengelak kerana “mereka” berada di mana-mana.
3. GUNUNG YONG BELAR, PERAK (7156 Kaki)
Yong Belar merupakan satu daripada tiga gunung yang membentuk laluan trans Titiwangsa, satu laluan terkenal bagi pendaki di Banjaran Titiwangsa. Untuk mencapai puncak Yong Belar, laluannya bermula dari Gunung Korbu, Gunung Gayong dan kemudiannya Yong Belar. Dari sini pendaki boleh tembus keluar ke Blue Valley di Cameron Highlands. Menariknya, di Yong Belar terdapat satu batu tanda yang menunjukkan sempadan tiga negeri; Pahang, Perak dan Kelantan.
4. GUNUNG GAYONG, PERAK (7129 Kaki)
Difahamkan, di sinilah tempat kelahiran seni silat tradisional orang Melayu, yakni silat gayong. Kononnya ada seorang pendekar Melayu zaman silam ke puncak gunung ini untuk bertapa. Silat Gayong lahir apabila pendekar ini harus bersemuka dengan dugaan yang datang daripada binatang-binatang yang mendiami gunung ini. Permukaan puncak gunung yang hampir rata dan juga luas sesuai untuk aktiviti berpencak, seakan mengiakan lagenda ini.
Gunung Gayong ini gunung berapit, iaitu diapit antara dua gunung; Korbu dan Yong Belar. Jadi untuk ke sini harus melalui salah satu gunung terdahulu. Selalunya pendaki tegar akan mengambil “pakej tiga serangkai”, menawan ketiga-tiga gunung sekali harung.
5. GUNUNG CHAMAH, KELANTAN (7123 Kaki)
Terletak jauh di tengah hutan Royal Belum, Gunung Chamah dinobatkan sebagai gunung yang paling sukar didaki antara gunung G7 yang lain. Dikelilingi oleh hutan dara yang tebal dan hampir tidak terusik, sudah tentu halangannya lebih besar. Nak sampai ke kaki gunung pun sudah memerlukan berhari-hari dan kemungkinan untuk sesat sangat mudah berlaku. Sebaiknya bawa sekali pengiring yang berpengalaman untuk mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku.
Chamah juga mesra dengan haiwan liar. Bertembung dengan tapak kaki harimau itu perkara biasa. Gajah juga bebas berkeliaran. Biasanya 10 hari diperlukan sebelum korang berjaya menjejakkan kaki dan berswafoto di puncak Chamah.
6. GUNUNG YONG YAP, KELANTAN (7113 Kaki)
Bentuk puncak Yong Yap benar-benar seperti piramid. Jelas bentuk segitiganya, seperti lukisan gunung semasa kita dalam kelas Pendidikan Seni dahulu. Untuk ke permulaan trek, kita perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda bermula dariperkampungan orang asli, Kampung Lasah. Selepas dua jam, pendakian bermula. Terdapat banyak laluan yang cerun dan memanjang. Jadi, stamina harus kuat untuk mendaki dan juga membawa barang-barang di dalam beg.
7. GUNUNG ULU SEPAT, KELANTAN (7090 Kaki)
Gunung Ulu Sepat juga terletak di hutan Royal Belum, berjiran dengan Gunung Chamah. Kebiasaannya pendaki akan mendaki kedua-dua gunung ini (Trans Chamah-Ulu Sepat) dalam satu sesi. Laluan pendakian ini antara yang paling sukar antara semua laluan pendakian yang ada di Malaysia. Nak sampai ke tapak permulaan pendakian pun sudah menyeksakan.
Mesti antara korang tertanya-tanya, “eh Gunung Kinabalu tak termasuk G7 ke, kan tu gunung tertinggi di Asia Tenggara?”
Jawapannya tak tersenarai, sebab gunung tu sah-sah terletak di Sabah dan ia digelar ‘Big Five Borneo’ yang menggabungkan dengan 4 lagi gunung termasuk yang ada di Sarawak.
Jadi, semoga berjaya dalam pendakian korang nanti!
p/s: Jangan lupa nak turun gunung tu bawa sekali sampah korang. Jangan buang merata. Sama-sama kita jaga khazanah alam kurniaan Tuhan ini.