Rugi Kalau Ke Johor Tak Singgah Kluang Yang Ada 1001 Destinasi Menarik Untuk Jalan-Jalan
TRAVELMungkin ramai yang dah rindu untuk bercuti atau jalan-jalan ke serata Malaysia bagi melepaskan tekanan selepas lama kita dikurung di dalam rumah dan dilarang untuk merentas daerah atau negeri akibat kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat baru-baru ini.
Tetapi korang kenalah ikut nasihat untuk duduk di rumah bagi kita sama-sama melandaikan lekuk graf peningkatan kes di negara kita. Lagi cepat kita ikut SOP, insyaAllah lagi cepat kita semua dapat hidup kembali normal dan berpeluang bercuti serta melancong dalam negara. Korang tak nak ke? Mesti nak kan...
Jadi sementara kita semua kebosanan duduk di rumah ni, tiada salahnya kalau kita baca dan kongsikan semua destinasi percutian idaman kita kepada ahli keluarga serta rakan-rakan, sekurang-kurangnya dapat membuatkan minda kita lebih positif dan yakin yang suatu hari nanti kita pasti menang dan dapat melancong semula.
Bagi korang yang tak pernah menjejakkan kaki ke Kluang, Johor atau teringin nak jalan-jalan ke bandar yang terkenal dengan kopinya yang pekat dan melekat tu -- ini kami senaraikan destinasi yang boleh korang lawati bersama keluarga dan sahabat handai nanti.
1. KLUANG RAIL COFFEE
Siapa yang tak tahu sebenarnya Kluang popular dengan kopi. Jadi kalau korang memang seorang penggemar kopi atau 'coffee lover' korang wajib datang ke Kluang Rail Coffee ini.
Kopitiam ini sangat terkenal dengan rasa bancuhan istimewa kopinya yang mesti buat korang tersenyum bahagia, lagi-lagi bila ia dinikmati bersama menu roti bakar di tepi stesen kereta api yang boleh membuatkan korang seolah-olah kembali ke nostalgia zaman dahulu kala.
Kluang Rail Coffee yang asal (utama) terletak betul-betul bersebelahan landasan kereta api. Dari situlah asal usul dapat nama KLuang Rail Coffee itu!
Ramai penggemar kopi yang sukakan bancuhan kopi Kluang kerana rasanya yang padu dan sedap. Tak hairanlah sebelum kita dilanda dengan penularan pandemik, tempat ini selalu penuh dengan kedatangan pelanggan dari dalam dan luar negara. Malah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga pernah mencemar duli berkunjung ke kopitiam ini.
Disebabkan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, Kluang Rail Coffee kini melebarkan sayapnya dengan pembukaan 4 lagi cawangan di bandar Kluang sahaja! Selain kopi, di sini juga korang jangan lepaskan peluang untuk menjamu menu lain yang tak kurang hebatnya seperti telur rebus setengah masak, nasi lemak, roti bun bakar dan Nasi Ujang . Nasi ujang ni hanya terdapat di Kluang sahaja tau, untuk menu ini boleh dipesan di semua cawangan kecuali di kedai utama.
LOKASI-LOKASI KLUANG RAIL COFFEE:
1) The Original Kluang Rail Coffee, KTM (Kluang Rail Coffee)
Alamat : KTM, Jalan Station, 86000 Kluang, Johor .
Waktu Operasi : 7pagi - 6 petang.
2) Kluang Rail Coffee, Taman Tasik
Alamat : 20 & 21 Pusat Perniagaan Tasik, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi : 7pagi - 9.30 malam.
3) Kluang Rail Coffee, Jalan Duku
Alamat : 44 & 46, Jalan Duku, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi: 8pagi- 8 malam.
4) Kluang Rail Coffee, Bandar Seri Impian
Alamat :204, Impiana Square, Jalan Seri Impian 8/1D, Bandar Seri Impian, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi: 7 pagi- 7 malam.
2. LAMAN KREATIF KLUANG
Laman Kreatif Kluang terletak hanya 250 meter sahaja dari Kluang Rail Coffee. Lokasi ini sebenarnya terkenal dengan hasil kreatif lukisan mural untuk tontonan orang ramai di mana lokasi tepatnya adalah antara Jalan Dato’ Kaptain Ahmaddan dan Jalan Dato’ Teow Siew Khor.
Dek kerana lokasinya yang terletak di pusat bandar Kluang, lokasi ini sangat mudah untuk dikunjungi kalau anda bermalam di bandar Kluang . Lukisan mural yang terletak di sepanjang bandar Kluang ini memang spot cantik kalau anda nak bergambar Instagrammable. Majoriti lukisan mural di sini menceritakan sejarah serta keunikan negeri Johor.
Laman Kreatif Kluang ni diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Kluang sejak awal tahun 2015 dan pada tahun 2017 -- ianya ditambah pula dengan satu lagi tarikan sama iaitu Laman Pesona Kluang sebagai kesinambungan kepada Laman Kreatif Kluang dengan konsep Light & Garden.
Kedua-dua laman ini saling berhubung dan pernah meraih anugerah "World Green Award" pada hujung tahun 2017! Jadi rugi sekiranya korang tak datang ke sini tau...
3. ZENXIN ORGANIC PARK
Korang penggemar sayur-sayuran organik yang sangat menyihatkan? Jika ya, salah satu tarikan yang ada di Kluang ini memang lokasi tepat yang wajib korang kunjungi.
Zenxin Organic Park merupakan ladang organik terbuka yang pertama di Malaysia, serta menggabungkan antara tujuan rekreasi sambil belajar. Di sini korang boleh memilih untuk jalan-jalan di ladang itu dengan berjalan kaki atau menaiki basikal.
Ladang ini menawarkan lawatan taman dengan khidmat pemandu pelancong dalaman dan pengunjung boleh mengalami kehidupan sebenar tentang aktiviti pertanian organik di sini dan berpeluang merasai sendiri pengalaman yang jarang ditemukan di tempat lain iaitu memetik buah-buahan dan sayur-sayuran segar-bugar.
Selain itu, di ladang ini juga korang dapat belajar membuat piza menggunakan sayur-sayuran dan juga mi daripada sayur organik yang ada di sini.
Jika ingin mengambil pakej lawat di ladang ini, sebaiknya korang membuat tempahan 2 hari awal di laman web rasmi mereka. Lepas dah pusing-pusing ladang, korang jangan lupa singgah di Farm Mart mereka bagi membeli buah tangan untuk dibawa pulang seperti sayur-sayuran, dan makanan kering.
Tips : Sila bawa repellent bagi menghalau nyamuk jika anda ingin membuat lawatan ke ladang ya. Manakala waktu lawatan yang sesuai adalah antara 8-10 pagi atau pukul 3 petang.
Website: http://zenxin.com/park/
Email: [email protected]
No Telefon: 07-7595196/019-7738985
Waktu Operasi: 8 Pagi - 5 Petang
Alamat: Plot 47A & 47B, Batu 9, Jalan Batu Pahat, 86000 Kluang, Johor.
Facebook: Zenxin Organic Park
4. UK FARM AGRO RESORT
Mesti ramai antara korang yang dah lama rindu dan teringin nak melancong ke luar negara seperti ke New Zealand atau setidak-tidaknya bercuti ke Kundasang, Sabah yang terkenal dengan lembu bertompok hitam putih tu, kan?
Kalau kita masih belum dibenarkan untuk terbang ke sana nanti, korang boleh je ke Kluang dan berkunjung ke UK Farm AgroResort yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar Kluang.
UK Farm AgroResort ini merupakan sebuah ladang penternakan dan pertanian yang setanding dengan ladang-ladang berstatus antarabangsa di seluruh dunia. Kawasannya yang luas juga membuatkan lokasi ini mempunyai banyak aktiviti yang ditawarkan kepada anda seperti zoo mini, melihat haiwan ternakan dan pelbagai tanam-tanaman unik yang ada di sini. Selain kambing, ada juga binatang lain yang boleh anda temui antaranya ayam, itik, burung kasuari dan banyak lagi.
UK Farm AgroResort ini juga menyediakan tempat untuk anda bermalam yang terdiri daripada chalet atau dormitori berkonsepkan rumah panjang, asrama dan dewan. Sesuai sekiranya ada sekolah atau organisasi yang ingin mengadakan program di sini. Untuk Daily Tour, korang boleh pilih sama ada nak menaiki mini bus atau 'horse tour'.
Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di UK Farm adalah:
Melawat zoo mini
Memberi makan dan menyusukan kambing
Memberi makan kepada burung unta, itik, ayam, rusa serta arnab
Menunggang kuda
Night Tour
Harga :
1) Mini Bus Farm Tour : RM31.80 ( Dewasa ) & RM 21.20 Kanak-kanak ( 3-12 tahun )
2) Horse Carting Farm Tour ( 4 Orang ): RM137.80 ( Low Season ) & RM180.20 (Peak Season )
Website http://www.ukfarm.com.my
Facebook : UK Farm Agro Resort
Instagram @ukfarmresort
No Telefon : 07-759 7555
Alamat : Plot 8,Projek Pertanian Moden Kluang, KM13 Jalan Batu Pahat, Kluang, 86000 Kluang, Johor
5. TAMAN TASIK MPK
Berkunjung Ke Kluang tidak lengkap rasanya jika tidak bersantai di Taman Tasik MPK Kluang. Korang boleh merehatkan minda dengan membawa keluarga mahupun rakan-rakan. Terdapat taman permainan kanak-kanak, trek untuk berjogging serta pelbagai jenis alatan senaman di sini. Apa yang menyeronokkan ialah kehadiran korang akan disambut dengan beberapa kawanan burung merpati.
Di Dataran Tasik Putih MPK ini terdapat Jam Besar yang boleh korang jadikan sebagai port bergambar cantik, beriadah dan berkelah. Oh ya..jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke bazar uptown di sini pada waktu malam yang diadakan setiap hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad .
6. GUNUNG LAMBAK
Gunung Lambak merupakan salah satu lokasi pendakian yang cukup terkenal di daerah ini dan cukup popular di kalangan para pendaki termasuk dari Singapura.
Di puncak Gunung Lambak korang akan disajikan dengan pemandangan indah dan menakjubkan keseluruhan bandar Kluang dari atas.
Trek pendakian ke Gunung Lambak ini mempunyai beberapa peringkat iaitu senang, sederhana dan juga sukar. Jadi pastikan anda membawa bekalan air yang mencukupi jika mendaki ke gunung ini.
Selain dipenuhi pelbagai spesies flora dan fauna, di sini juga korang berpeluang menikmati kedinginan air terjunnya yang cukup cantik serta mempesonakan.
Terdapat pelbagai kemudahan di sini seperti ruang parkir yang luas, taman permainan, surau, chalet, tapak perkelahan dan trek joging.
Terletak kira-kira 5 kilometer dari bandar Kluang, di kaki gunung ini juga sebenarnya mempunyai sebuah tarikan menarik untuk korang kunjungi iaitu kolam Water Park Gunung Lambak yang dibuka setiap hari. Istimewanya air dalam kolam ini sangat sejuk dan menyegarkan kerana ia berasal dari air gunung.
7. NGEPOT KABIN
Unik betul nama tempat urban yang menjadi kegemaran untuk port bersantai anak-anak di Kluang ni, kan? Port lepak baru ini sebenarnya merupakan deretan kedai makan berkonsepkan kontena moden yang terletak di tengah-tengah bandar Kluang serta bersebelahan sungai.
Selain itu, di sini juga selalunya menjadi tempat acara keraian dan pelbagai kedai lain antaranya busking, kedai gunting rambut, kedai tudung pun ada.
Majoriti pengunjung sukakan makanan di sini yang disediakan dengan portion besar dan sangat lazat. Orang kata kalau ke sini jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan aiskrim yang dijual di sini dan makanan legenda sup power yang dah beroperasi selama 20 tahun lamanya.
Reka hias Ngepot Kabin ini pun tak kurang hebatnya dan cantik untuk dijadikan latar belakang korang bergambar Instagrammable!
Alamat : 37, Jalan Mad Lazim Saim, Kampung Masjid Lama, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi: 4 petang - 12 tengah malam
Facebook : Ngepot Kabin
Instagram : Ngepot Kabin
8. RASURRIA DAIRY GOAT FARM (LA DAIRY GOAT FARM)
Jika korang membawa anak-anak kecil bercuti ke Kluang, jangan lupa untuk bawa mereka bersiar-siar ke zoo mini yang mempunyai pelbagai jenis haiwan jinak seperti lembu, rusa, kambing, kerbau, kuda, merak, burung merak, kura-kura, beberapa jenis ikan (arapaima, arowana, gapi, koi & lain-lain).
Anak-anak pastinya seronok apabila dapat merasai sendiri pengalaman memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sini menggunakan tangan kecil mereka. Lagi best korang juga berpeluang membeli susu kambing segar 250ml dengan harga RM5 untuk dinikmati bersama mereka.
Alamat : No. 160, Jalan Yap Tau Sah, Johor, 86000 Kluang
Waktu Operasi: 10 pagi – 5 petang.
No Telefon: 07-787 8676
9. KLUANG COFFEE FACTORY
Memang betul gelaran yang diberi kepada Kluang iaitu bandar kopi. Kluang sememangnya syurga bagi korang yang bergelar peminat tegar kopi. Mana tidaknya di Kluang ini juga korang boleh melihat sendiri bagaimana proses pembuatan serbuk kopi dan uncang jenama popular iaitu Kopi Cap Televisyen di Kluang Coffee Factory.
Kalau dah tengok prosesnya, korang jangan ketinggalan untuk merasai pula keenakan Kopi Kluang yang diperbuat daripada campuran Kopi Arabika (Arabica Coffee), Kopi Robusta (Robusta Coffee) dan Kopi Liberika (Liberica Coffee). Nak beli bawa balik sebagai buah tangan pun menarik kopi-kopi di sini.
Kilang Kluang Coffee ini didirikan pada tahun 1966 di Jalan Mersing. Untuk memenuhi permintaannya yang semakin meningkat, pihak pengurusan memutuskan untuk memperluas dan mengoptimakan operasi perniagaannya dengan memindahkan kilang tersebut ke Jalan Besar, Kluang pada tahun 2003.
Mesti ramai yang tertanya-tanya kenapa kopi ini diberi jenama sebagai Cap Televisyen...namun sebenarnya ada cerita di sebalik nama berkenaan.
Menurut cerita orang dulu-dulu kopi itu dipanggil Cap Televisyen memandangkan pada dahulu TV merupakan sebuah barangan mewah yang mahal dan tidak semua orang mampu untuk memilikinya. Jadi dalam satu kampung biasanya hanya satu rumah sahaja yang ada televisyen dan di situlah semua orang akan berkumpul untuk menonton TV beramai-ramai.
Oleh sebab itu, pengasas Kopi Cap Televisyen ini mahu kopinya menjadi rebutan dan perhatian orang ramai seperti televisyen dan menamakan ia bersempena nama barangan elektronik tersebut. Menarik kan kisah di sebalik nama kopi tu...hehehe
Alamat : Kluang Coffee Powder Factory, 76,Jalan Besar, Kampung Yap Tau Sah, 86000 Kluang, Johor
Waktu Operasi: 8.30 pagi – 5 petang.
Website : https://www.kluangcoffee.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/kluangcoffee1966/
Ya, memang benar sekarang kita masih lagi tidak dibenarkan untuk membuat aktiviti pelancongan. Tetapi, tiada salahnya jika korang dah mula pakat-pakat pilih destinasi percutian korang nanti apabila keadaan semakin pulih.
Apa-apa pun semoga senarai lokasi menarik di sekitar Kluang yang boleh korang kunjungi ini akan terus membangkitkan semangat berkobar-kobar untuk bercuti dan jangan berhenti berharap semoga sinar akan kembali menyinari kita semua agar bebas daripada penularan pandemik ini.
Kongsi sekarang, bercuti kemudian!