4 Menu Makanan Dunia Berinspirasikan 'Coronavirus'

MAKAN-MAKAN
April 17, 2020 - 04:41 PM


Di saat dunia sedang diancam dengan penularan pandemik COVID-19 dan virus tersebut menjadi trending di laman media sosial -- ada pengusaha makanan yang menjadikan wabak coronavirus berkenaan sebagai inspirasi untuk mereka mencipta menu kreatif.

Bukan mahu menyokong atau berjenaka mengenainya, cuma penghasilan hidangan yang bertemakan coronavirus digunakan sebagai satu ekspresi tersendiri oleh si tukang masak bagi membangkitkan semangat masyarakat global bagi memerangi jangkitan virus berkenaan.

Jom kita lihat apakah jenis menu COVID-19 yang dihasilkan di beberapa negara seluruh dunia :-

1) VIETNAM - Burger COVID-19

Bagi Cef, Hong Tung berasal dari Hanoi, menghasilkan burger bertemakan coronavirus.

Beliau menghasilkan burger yang menggunakan roti disaluti teh hijau dihiasi dengan mahkota kecil iras gambar rajah coronavirus yang dilihat menerusi mikroskop.

Tung menjelaskan, penghasilan makanan segera itu adalah bagi menghilangkan rasa takut orang ramai terhadap penyakit berjangkit berkenaan.

“Ada bidalan yang mengatakan, jika kita takut kepada sesuatu, kita harus memakannya," katanya.

Menurut media, kedai makanan segera itu berhasil menjual kira-kira 50 burger terbabit setiap hari, sekali gus dilihat membantu peniaga berkenaan terutama dalam keadaan perintah berkurung yang disebabkan pandemik berkenaan.

2) PERANCIS - Telur Easter COVID-19 

Cef pastri dan coklat dari Prancis, Jean-François Pré menghasilkan telur ‘easter’ bertemakan coronavirus.

Makanan berasaskan coklat itu berwarna hitam dengan kacang badam bertitik merah menyerupai virus terbabit.

Ketika ditemubual akhbar tempatan, Pré memberitahu resipi yang dihasilkannya hanya sebagai jenaka bagi meredakan keadaan tegang disebabkan virus terbabit.

Beliau mula menjual makanan itu, di kedainya yang terletak di Landivisiau, Brittany beberapa minggu sebelum Perancis melaksanakan perintah berkurung.

3) JERMAN - Kek Tisu Tandas

Di barat Jerman, kedai kek Schuerener Backparadies turut menjadikan virus terbabit sebagai inspirasi kepada resipi kek dan biskutnya.

Pelanggan bukan sahaja boleh mendapatkan biskut menyerupai emoji topeng muka, malah kedai dimiliki Tim Kortuem itu turut menawarkan kes berbentuk tisu tandas.

Penghasilan kek menyerupai tisu tandas itu jelasnya diinspirasi daripada masalah kekurangan bekalan bahan berkenaan akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia.

Kek marbel dibaluti gula fondan putih itu mendapat permintaan tinggi pelanggan dengan penghasilan 200 biji setiap hari dan secara tidak langsung membantu kelangsungan perniagaannya khususnya dalam keadaan yang getir ketika ini.

"Pelanggan amat menyukai kek terbabit dan kebanyakan mereka menyukainya kerana ia bersesuaian dengan keadaan yang kita hadapi sekarang," katanya.

4) AMERIKA - Donut Wajah Pakar Penyakit Berjangkit

Di Amerika Syarikat (AS), sebuah kedai makanan segera menjual donut yang memaparkan wajah pakar penyakit berjangkit, Dr Anthony Fauci yang juga anggota pasukan khas coronavirus kepada Presiden AS, Donald Trump.

Pengusaha kedai di Rochester, New York itu mengambil keputusan menjual donut berserta wajah Dr Anthony kerana doktor pakar terbabit antara individu penting di negara itu dalam melawan COVID-19.

Pemiliknya, Nick Semeraro, berkata beliau mengagumi peranan dimainkan Dr Anthony dan donut yang dihasilkannya itu adalah sebagai tanda berterima kasih kepada doktor berkenaan

Sumber: Berita Harian

 

Artikel berkaitan