[VIDEO] "Kat Mekah Berebut-Rebut Nak Jemaah Di Masjid, Balik Sini Masjid Sunyi Je" - Ustaz Tegur 'Trend' Tunai Umrah Hari Ini

TERKINI
September 27, 2023 - 12:43 PM


Seolah-olah menjadi trend bagi segelintir individu apabila hanya rajin menunaikan ibadah umrah di Mekah, tetapi sukar menjejakkan kaki ke masjid apabila pulang ke kampung halaman.

Menerusi sebuah video di laman TikTok, Ustaz Mokhtar Yaakob meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir individu yang hanya beribadah ketika melakukan haji atau umrah, namun enggan melakukan hal sama di rumah.

“Sekarang ini, jadi satu trend semua orang pergi umrah. Kalau boleh, satu keluarga, satu kampung pergi umrah. Tetapi, lepas balik umrah, tidak datang ke masjid.

“Balik dari umrah, sibuk cerita seronoknya sembahyang berjemaah. Tetapi, 12 hari di Mekah itu sahaja ke berjemaah?,” katanya dalam video sama.

Tambah ustaz tersebut, ada sesetengah orang yang sanggup panggil mutawwif seawal pukul tiga pagi di Mekah semata-mata untuk menunaikan solat jemaah.

“Tetapi, bila dah naik kapal terbang, ustaz minta niat sembahyang jamak, ada antara kita yang lebih sanggup qada solat.

“Belum turun kapal terbang lagi sudah minta qada sembahyang. Jadi, tidak pelik sekiranya ada yang sudah menunaikan umrah tetapi Allah masih tidak beri hidayah,” katanya.

@pejuangpondok8734

 

♬ bunyi asal - PejuangSubuh

Meninjau ke ruangan komen, orang ramai mengakui masih ada yang tidak berubah walaupun selepas menunaikan haji atau umrah.

“Benarlah hidayah itu milik Allah,” kata seorang pengguna.

“Ada yang pergi Mekah hanya untuk berjalan-jalan sambil beribadah. Balik ada macam-macam tanggungjawab lain,” kata seorang lagi pengguna.

Kini, hantaran tersebut telah menerima 2,571 tanda suka dan 119 komen.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Destination: