"Saling Bermaafan" - Kes Saman RM2.5 Juta Siti Nordiana Terhadap Lima Sekawan Selesai Cara Baik

HIBURAN
December 05, 2023 - 04:46 PM


Kes saman fitnah penyanyi popular, Siti Nordiana terhadap lima sekawan termasuk dua rakan artis iaitu Lan Solo dan Syura Badron berkaitan siaran langsung dalam Instagram (IG) diselesai secara baik selepas kedua-dua pihak saling bermaafan dan memilih untuk tidak memanjangkan perbicaraan yang berlarutan selama dua tahun.

Siti Nordiana, 39 atau lebih mesra dipanggil Nana dan lima sekawan itu sepakat menyelesaikan kes di Mahkamah Tinggi hari ini dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua pihak.

Perkara ini disahkan peguam Nana iaitu Abang Azlan Abang Ariffin di mana perbicaraan kes itu tidak diteruskan. Ini selepas masing-masing mengambil keputusan untuk berbincang dan saling bermaaf-maafan.

Persetujuan juga telah diputuskan mengikut terma dan syarat di mana kedua-dua pihak bersetuju ketika di hadapan Hakim, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan.

 

"Kami berharap agar persengketaan terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak berulang lagi," kata hakim.

Dengan itu, lima sekawan iaitu Lan Solo, Nur Sheila, Syura Badron, Sam Musyadzafar dan Raziah Ahmad membuat permohonan maaf dan turut memaafkan Nana di hadapan hakim.

Hal yang sama juga dilakukan Nana yang turut membuat permohonan maaf kepada lima sekawan dan memaafkan semua kelakuan mereka sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah merekodkan persetujuan itu.

 

Sumber: Oh Media

Destination: