Khas Buat Kaki Camping! Ini Senarai Port Perkhemahan Menarik Ikut Negeri
TRAVELAktiviti riadah seperti berkhemah semakin mendapat tempat di hati rakyat negara ini.
Perkhemahan secara santai dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik seperti mandi sungai, mandi laut, memancing, melihat bintang, barbeku kini menjadi pilihan utama ibu bapa untuk mengisi waktu hujung minggu atau ketika cuti sekolah.
Selain memberi pendedahan kepada keindahan alam semula jadi, ia juga secara tidak langsung dapat memupuk minat kanak-kanak bagi menjaga dan memelihara khazanah warisan untuk generasi masa hadapan.
Ada banyak tapak perkhemahan di seluruh negara untuk dikunjungi dan kita bertuah kerana Malaysia kaya dengan kawasan hijau yang masih kekal terpelihara.
Bagi yang mahu cuba berkhemah, berikut adalah beberapa lokasi perkhemahan yang boleh dikunjungi mengikut negeri:
SELANGOR
1) Kemensah Valley Recreation & Chalet
Lokasi perkhemahan ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti berkhemah kerana ia terletak hanya 30 minit dari ibu negara.
Pelbagai kemudahan disediakan dan kawasan tapak perkhemahannya luas manakala sewa yang dikenakan juga berpatutan.
Selain mandi sungai dan barbeku, di sini juga ada beberapa aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti merentas hutan, mendaki bukit dan memancing.
2) GG Retreat Bukit Tasik Serendah, Serendah
Antara lokasi perkhemahan menarik di ibu negara yang boleh dicuba untuk penggemar aktiviti berkhemah.
Ia menyediakan kemudahan tapak khemah dan gazebo dengan pelbagai kemudahan asas yang selesa.
Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini antaranya 'night walk', mandi sungai, naik 'motorcross', ATV, memancing dan banyak lagi.
3) River & Glamp, Ulu Yam
Tapak perkhemahan yang terletak di tepi sungai dan hanya 15 minit dari Batu Caves, Selangor.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk menelusuri sungai menggunakan tiub besar atau tubing, mandi sungai, berbasikal dan ATV.
PERAK
1) Denai Kabus, Gerik
Terletak di kaki Gunung Kenderong, Kampung Pahat, Gerik.
Ia antara lokasi popular penggemar aktiviti perkhemahan kerana lokasinya nyaman dan berkabus umpama di luar negara.
Denai Kabus mempunyai pemandangan menarik berlatarkan 'The Twin Sisters of Hulu Perak,' Gunung Kenderong dan Kerunai.
PERLIS
1) Nakawan Base Camp, Bukit Air
Kawasan tapak perkhemahan ini bersih dan mempunyai banyak kemudahan asas seperti tandas, surau, tempat mandi dan bekalan elektrik.
Lebih istimewa, ia berdekatan dengan air terjun yang boleh untuk mandi-manda.
TERENGGANU
1) TWCampstay, Pantai Tok Jembal
Lokasi perkhemahan yang menghadap Laut Cina Selatan dan menyediakan pelbagai aktiviti sukan air.
Latar dekorasinya yang tersendiri ala kehidupan di pulau menarik perhatian ramai dan sesuai untuk golongan muda.
PAHANG
1) Rimba Valley Motor Campsite, Janda Baik
Selain tapak perkhemahan, ia juga menyediakan kemudahan penginapan dalam karavan dan rumah kayu.
Pelbagai kemudahan disediakan dan pengunjung juga boleh memancing dan menaiki ATV.
2) Hikers Paradise, Cameron Highlands
Lokasi perkhemahan yang nyaman, berkabus dan penuh privasi.
Ia terletak di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa dan berhampiran sungai.
JOHOR
1) Tiger Base Camp, Tanjung Sedili, Johor
Tapak perkhemahan yang luas dan selesa di tepi pantai yang dikelilingi pokok rhu.
Kawasannya sangat redup, tidak terlalu panas dan pantainya tidak ramai pengunjung kerana terletak bukan di kawasan utama.
Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas, peralatan barbeku dan banyak lagi.
Sumber: Harian Metro