Harimau Malaya 'Ditibai' Jordan Pada Perlawanan Pembukaan, Kim Pan Gon Mohon Maaf Kepada Peminat

SUKAN
January 16, 2024 - 10:55 AM


Selepas 17 tahun, Malaysia akhirnya membuat penampilan pertama di pentas Piala Asia selepas kali terakhir turut serta dalam kejohanan tersebut adalah pada tahun 2007.

Namun, permulaan Malaysia di Piala Asia kali ini tidak seindah yang diharapkan apabila bermula dengan langkah sumbang dimana skuad negara tumbang 0-4 kepada Jordan.

Pada aksi sulung kedua-dua pasukan dalam kempen kali ini, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon dilihat gagal menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan sehingga menyebabkan mereka ketinggalan 0-2 selepas 18 minit permainan.

Jordan kendalian Hussein Ammouta membuka tirai jaringan menerusi Almardi, yang melepaskan rembatan lencong dari sebelah kanan luar kotak penalti pada minit ke-12, sebelum pemain tengah Mousa Altamari menyempurnakan sepakkan penalti enam minit kemudian.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub itu menyaksikan Almardi sekali lagi menambah jaringan apabila dengan mudah menampan bola hasil hantaran lintang Alnaimat ketika Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.

Hasrat Malaysia untuk merapatkan defisit tidak kesampaian, apbila rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pemain tengah Stuart Wilkin sedikit tersasar pada masa kecederaan babak pertama, sekali gus keputusan kekal 0-3 memasuki waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Pan Gon membuat beberapa pertukaran antaranya memasukkan dua pemain naturalisasi Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh, selain Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Rashid dalam usaha mengubah permainan.

Biarpun terdapat perubahan yang menyaksikan serangan pasukan negara menjadi lebih efektif, namun tetap gagal menghasilkan gol dengan beberapa percubaan menarik berjaya diselamatkan penjaga gol Jordan Yazeed Abulaila.

Tatkala Malaysia rancak memburu gol, Jordan menambah derita anak buah Pan Gon apabila Altamari dengan mudah melepaskan rembatan bola lambung yang melepasi jangkauan Ahmad Syihan, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan di ranking dunia ke-87 itu.

Sedar akan kekecewaan para peminat, jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon terus meminta maaf kepada peminat bola sepak tanah air susulan kekalahan ke atas Jordan awal pagi tadi.

Pengendali dari Korea Selatan itu akui kekalahan berikut adalah yang terburuk sejak dia mengambil alih pasukan itu pada Januari 2022.

Selain itu, Pan Gon juga mengakui pasukan negara dilihat gugup bermain di peringkat ini dalam masa yang sama melihat Jordan lebih bersedia dan bermain dengan baik.

"Jordan membuat permulaan yang baik pada separuh masa pertama tetapi bagi kami, saya fikir, mungkin bermain di pentas seperti ini, kami sedikit gugup.

"Saya mohon maaf kepada peminat dan pemain sudah cuba beri saingan tetapi kita tidak mampu beri tentangan kepada Jordan," kata Pan Gon.

 

Sumber: Astro Awani & Says Seismik

Destination: