Jualan Sambal Nyet Cecah RM20 Juta, Khairul Aming Umum Bakal Lancar Produk Kedua Jumaat Ini
TERKINIPempengaruh media sosial dan usahawan terkenal Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming bakal mengeluarkan produk kedua selepas kejayaan jualan Sambal Nyet.
Setelah tiga tahun bertapak dalam bidang pemprosesan sambal, pengasas kepada Sambal Nyet itu mengumumkan bakal melancarkan produk terbaharunya pada 2 Februari ini.
Untuk tahun 2023, jualan Sambal Nyet mencecah Rm 20 juta, peningkatan lebih 40% dari tahun 2022. Hari ini juga kita ingin mengumumkan produk kedua di bawah jenama khairulamingbrand.
— Khairulaming (@khairulaming) January 29, 2024
80,000 unit akan dijual untuk launching pada hari Jumaat (2 Feb) ini. Kita telah ambil masa… pic.twitter.com/9qGhjbGLBP
Khairul Aming menerusi satu hantaran video di X menyatakan produk yang diberikan nama Dendeng Nyet Berapi itu bakal dijual menerusi siaran langsung (Live) di platform TikTok rasminya pada jam 9 malam nanti.
Sebanyak 80,000 unit akan dijual pada hari pelancaran berkenaan. Khairul Aming juga menjelaskan bahawa produk keduanya itu telah mengambil masa selama setahun untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta memakan modal sebanyak lebih RM2 juta bagi persiapan menyediakan mesin serta pengubahsuaian kilang.
“We hope you will like it (kami berharap anda sukakannya), kalau ada kekurangan boleh inform (maklumkan) kita untuk penambahbaikan. Jumpa anda di hari launching nanti,’’ katanya.
Menerusi video yang sama, pempengaruh itu juga menjelaskan hasil jualan Sambal Nyet untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM20, peningkatan lebih 40% dari tahun 2022.
Menurutnya lagi, hasil daripada keuntungan jualan tersebut, telah dilaburkan kembali untuk kembangkan kemudahan yang sedia ada dan penambahbaikan kilang.
Sumber: X