Rejim Zionis Ragut 7 Nyawa Pekerja Bantuan Kemanusiaan Termasuk Dari Britain & Australia
TERKINIKekejaman rejim Zionis bukan hanya menjadikan warga Palestin sebagai mangsa, terkini sekurang-kurangnya lima pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), World Central Kitchen (WCK), termasuk warga Britain dan Australia terbunuh dalam serangan udara Angkatan Tentera Israel (IDF) di sini, lewat malam tadi, Isnin (1 April).
Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas dalam kenyataannya berkata, selain warga Britain dan Australia berkenaan, mangsa lain yang terbunuh dalam insiden di Deir al-Balah, di kawasan tengah Gaza itu termasuk rakyat Poland dan seorang penduduk Palestin.
Sehubungan itu, WCK melalui platform X menyatakan, “Kami menyedari laporan bahawa ahli pasukan WCK telah terbunuh dalam serangan IDF ketika bekerja untuk menyokong usaha penghantaran makanan kemanusiaan kami di Gaza.
“Ini adalah tragedi. Pekerja bantuan kemanusiaan dan orang awam tidak pernah menjadi sasaran (sebegini).”
Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata dalam wawancara radio dengan penyiar negeri ABC bahawa kementerian luar negara itu ‘menyiasat segera’ laporan itu.
Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia berkata, laporan kematian seorang pekerja bantuan Australia, Lalzawmi ‘Zomi’ Frankcom amat mendukacitakan, yang terdahulu dilaporkan agensi penyiaran Australia, 9 News.