Siti Nurhaliza Bakal Bergelar Biduanita Negara

HIBURAN
April 04, 2024 - 03:30 PM


Inisiatif menganugerahkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza gelaran Biduanita Negara menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan memulakan langkah pertama merealisasikan hasrat itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan fasa awal untuk memberikan pengiktirafan itu sudah dilaksanakan. Namun, beliau tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai prosedur penganugerahan dibuat.

"Perkara ini dalam proses perbincangan dalaman. Jadi, belum sesuai untuk saya kongsi butiran lanjut.

"Tapi, saya nampak mungkin kami cuba lihat apa yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses ini," katanya.

Fahmi menambah, prosedur itu juga memerlukan masa kerana banyak aspek harus diambil kira sebelum keputusan dibuat.

“Saya tak akan komen lebih. Cuma, saya ada bangkitkan dan kena ikut proses, mungkin akan mengambil masa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media Bersama Fahmi Fadzil di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin.

Memetik dari Berita Harian, usul untuk menganugerahkan Siti dengan gelaran Biduanita Negara timbul selepas kejayaan pelantun konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada Mac lalu.

Sebagai info, gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dua penyanyi iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: