Pemandu Grab OKU Bisu & Pekak Dakwa Dipukul 'Bodyguard' TMJ
TERKINIPolis mengesahkan menerima laporan seorang pemandu e-hailing yang didakwa dipukul pengawal peribadi Tunku Mahkota Johor di sebuah hotel semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Kita masih menyiasat, setakat ini belum ada sebarang tangkapan. Pengadu dalam kes ini memang seorang orang kurang upaya (OKU).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman.
Difahamkan semalam, seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi berkenaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.
Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).