Sabah Bakal Miliki Destinasi Percutian Bertaraf Dunia, KK Resort City Di Lok Kawi
TRAVELSabah merupakan antara permata dalam industri pelancongan negara kerana negeri ini kaya dengan khazanah alam semula jadi yang selalu menjadi tarikan utama pelancong luar.
Setiap tahun, lebih 3 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Negeri Di Bawah Bayu ini termasuk di ibu negerinya Kota Kinabalu.
Terbaharu Sabah bakal memiliki ‘KK Resort City’ iaitu sebuah pusat pelancongan berskala besar yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hotel, pusat beli-belah dan pusat sosial bernilai kira-kira RM5 bilion.
KK Resort City bakal menjadi destinasi percutian bertaraf dunia apabila siap dibina kelak di Lok Kawi dengan keluasan 325 ekar (132 hektar), hanya kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.
Lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pesisir pantai bakal menjadikan KK Resort City tempat paling strategik untuk pelancong menikmati pemandangan matahari terbenam di bumi Sabah.
Disebabkan tarikan pelbagai destinasi pelancongan di Sabah, ada kawasan pelancongan yang tidak dapat menampung ketibaan ramai pengunjung.
Oleh itu, pembinaan KK Resort City ini sangat bertepatan dan diharap dapat menampung permintaan luar biasa daripada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Sumber: BERNAMA