Amsterdam Naikkan Cukai Pelancongan Bermula Bulan Ini

TERKINI
January 14, 2020 - 03:43 PM


Korang dah ada sasaran destinasi percutian untuk tahun 2020 ini? Ada tak sesiapa yang nak melancong ke bandar Amsterdam?

Kalau ada, mungkin korang dah kena mula menyimpan lebih sedikit untuk perbelanjaan perjalanan ke sana kerana bermula Januari ini, ibu kota Belanda itu melaksanakan caj tambahan 7 peratus ke atas cukai pelancong yang sedia ada.

Caj berkenaan turut dikenakan kepada hotel, apartment, tapak perkhemahan dan penginapan peribadi yang disewa seperti Airbnb.

Ini bermakna pihak hotel akan mengenakan bayaran tambahan sebanyak 3 Euro atau RM13.60 untuk setiap malam dan setiap orang.

Sementara mereka yang ingin menginap di tapak perkhemahan perlu membayar tambahan 1 Euro setiap orang bagi setiap malam.

Manakala untuk kadar cukai bagi penginapan persendirian yang disewa telah meningkat sebanyak 10 peratus!

Peraturan yang sama digunakan untuk pengendali pelayaran laut dan sungai dan para pelancong akan dikenakan bayaran tambahan 8 Euro setiap seorang.

Meskipun Amsterdam dilanda dengan kesesakan pelancong, namun seorang wakil dari Majlis Bandarayanya berkata pelaksanaan kadar cukai tambahan kepada pelancong itu bukan bertujuan untuk menakutkan mereka daripada terus mengunjungi Amsterdam.

Sebaliknya, dengan cara itu pelancong bakal menyumbang lebih banyak kepada kos yang tinggi untuk menjaga keselamatan bandar, meningkatkan tahap kebersihan serta mengekalkan kualiti kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki, pelabuhan, jambatan dan jalan-jalan raya di bandar itu agar sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.

Menurut lonelyplanet.com, Amsterdam merupakan bandar terbaru di dunia yang melaksanakan cukai pelancongan, mengikut langkah Paris dan Rom.

Dijangka satu lagi bandar bakal menyusul mengikut jejak mereka pada musim panas ini iaitu Venice, Itali.

Destination: