Koronavirus: Ini 4 Inisiatif Malaysia Dalam Mengekang Penularannya!

TERKINI
January 28, 2020 - 12:34 PM


Sejak beberapa minggu ini seluruh dunia digemparkan dengan penularan Novel Koronavirus yang berasal dari Wuhan, China termasuk kita yang berada di Malaysia juga turut terkesan dengan virus tersebut.

Tetapi kita sebagai rakyat Malaysia janganlah terlampau panik kerana pihak berkuasa sedang bertungkus-lumus memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di kesemua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah kesiapsiagaan dalam menangani jangkitan virus berkenaan.

Berikut adalah senarai usaha yang dilakukan Malaysia dalam mengekang penularan virus berkenaan:-

1) 54 LOKASI 'THERMAL SCANNER' DI PINTU MASUK ANTARABANGSA NEGARA 

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Twitter rasminya turut berkongsi maklumat bahawa terdapat 54 lokasi “thermal scanner” atau pengimbas haba yang di tempatkan di semua PMA seluruh Malaysia.

Fungsi alat tersebut adalah bertujuan mengesan kehadiran mereka yang mempunyai gejala demam dan berpotensi tinggi mempunyai jangkitan penyakit itu.

Jelasnya bagi daerah Johor Bahru, terdapat enam PMA dengan dua daripadanya masing-masing di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang merupakan pintu masuk darat dari Singapura.



Purata pelancong China yang masuk melalui KSAB adalah 3,000-3,500 orang sehari sepanjang 2019.

2) LALUAN KHAS IMIGRESEN UNTUK PELANCONG DARI CHINA

Selain itu, satu laluan khas imigresen bagi mana-mana pengembara yang berasal dari negara China juga telah diwujudkan di pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

3) GANTUNG SEMENTARA VISA RAKYAT CHINA

Kerajaan juga telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY, Visa on Arrival, e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya, berkuatkuasa semalam (27 Januari 2020).

4) MAHB BUAT OPERASI PEMBERSIHAN DI LAPANGAN TERBANG

Bagi memastikan keselamatan penumpang lapangan terbang sentiasa pada tahap terbaik, pihak Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melakukan proses membersihkan eskalator dan troli di lapangan terbang.

Malah, lapangan terbang juga menyediakan topeng dan sanitari tangan untuk kakitangan, di lokasi strategik di seluruh terminal.

Sebuah ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan juga disediakan untuk menempatkan penumpang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

Selain itu, pintu masuk berasingan bagi ketibaan penerbangan masuk dari China di kawasan yang lebih dekat dengan tempat khas perubatan turut disediakan bagi mempercepat prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai.

***Setakat pagi ini (28 Januari), empat kes Koronavirus telah dikesan di negara ini. 

Destination: