“The Door To Hell”: Kawah Berapi Tarikan Pelancong Ke Turkmenistan
TRAVELSiapa yang ada impian untuk melancong ke bumi Turkmenistan dan melihat sendiri sebuah kawah berapi yang persis seperti nama jolokannya "Pintu Ke Neraka"?
Dengar macam seram je kan...tapi percayalah sebenarnya kawah berapi tersebut merupakan satu tarikan pelancongan yang menarik dan dipopularkan oleh negara bekas jajahan Kesatuan Soviet bagi menarik orang ramai untuk mengunjungi padang pasir Karakum yang dahulunya tandus serta tidak berpenghuni.
Mengikut sejarah, 'Kawah Gas Darvaza' sebenarnya adalah medan gas asli di Derweze, Turkmenistan yang diruntuhkan ke dalam secara tidak sengaja oleh jurutera petrokimia Soviet, lalu menjadi sebuah kawah gas asli pada 1971.
Kawah ini kemudiannya dibakar untuk mencegah penyebaran gas metana dan sejak itu, api di dalam kawah ini tidak pernah padam dan kawah ini terus terbakar sehinggalah hari ini.
Kawah ini juga dikenali sebagai “The Door to Hell” memandangkan keadaan api yang menyala (membara) dan kelihatan begitu menakutkan.
Pakar Geologi Turkmenistan, Anatoly Bushmakin, berkata dahulu sekumpulan saintis membuat keputusan untuk membakarnya dengan harapan ia akan padam selepas beberapa minggu.
Bagaimanapun, selepas lebih 50 tahun kebakaran masih berlaku dan tiada tanda apinya akan padam.
“Ia kelihatan terang benderang pada waktu malam, malah ramai pengunjung siap berkhemah di sekeliling kawah.
“Jika dilihat pada siang hari, tiada menunjukkan sebarang aktiviti di kawasan sekelilingnya,” katanya.
Menariknya, Kawah Gas Darvaza, selepas lima dekad terbakar ia tidak pernah mengeluarkan gas beracun dan ini membuatkan orang ramai teruja untuk mengunjunginya.
Kawah gas asli berkenaan memiliki kedalaman 30 meter dan 69 meter lebar dipercayai antara simpanan gas antara terbesar di dunia.
Terletak di tengah padang pasir Karakum iaitu 260 kilometer di utara Ashgabat, ibu negara Turkmenistan.
Tiada pengangkutan terus ke Kawah Gas Darvaza, bagaimanapun semua bas yang menuju ke utara dari Ashgabat ke Dashoguz (dan ke selatan) memintas kampung Darvaza.
Ini bermakna pengunjung terpaksa berhenti di lebuh raya dan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer ke kawah.
Bagaimanapun, dinasihatkan mendapat bantuan perkhidmatan sewa van atau kenderaan pacuan empat roda.
Sumber: Berita Harian