Jom "Adopt An Animal" Bantu Zoo Negara Kekal Operasi Sepanjang PKP Covid-19

TERKINI
March 30, 2020 - 03:13 PM


Bila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), antara yang paling teruk terjejas pastinya lokasi-lokasi pelancongan negara yang sunyi sepi daripada kunjungan orang ramai.

Tidak terkecuali adalah Zoo Negara pertama di Malaysia yang terletak di Hulu Kelang, Selangor yang turut terkesan selepas mengalami kekurangan pendapatan sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas.

Lebih malang apabila Zoo Negara kini dikatakan terpaksa menggunakan tabung kecemasannya untuk meneruskan operasi dan ia hanya mampu bertahan selama 3 bulan sahaja.

Zoo Negara yang biasanya menerima lawatan lebih daripada sejuta pengunjung setiap tahun, selama ini memperoleh pendapatan daripada penjualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai.

Meskipun begitu, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata keadaan 4,000 jenis haiwan daripada 400 spesies di zoo itu masih dalam keadaan baik.

“Walaupun stok makanan untuk haiwan setakat ini mencukupi kerana penghantaran makanan haiwan oleh kontraktor yang dilantik masih berterusan dan tidak terjejas, tetapi tabung kecemasan itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja" katanya.

"Jika masyarakat ingin menyumbang, kami sangat mengalu-alukan sumbangan itu dengan menyertai kempen 'Adopt An Animal'," jelas beliau lagi.

Kempen 'Adopt An Animal' ini adalah pakej yang dilaksanakan oleh kebanyakan zoo di seluruh dunia bagi menambahkan pendapatan.

Pendapatan itu digunakan bagi belian bekalan makanan, ubat-ubatan dan kebajikan haiwan-haiwan.

Mereka yang mahu menyumbang boleh melayari https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html untuk maklumat lanjut.

Sumber: Bernama

Destination: