Ini Kadar Zakat Fitrah 2020 Mengikut Negeri & Link Pembayaran Online
GAYA HIDUPKurang seminggu lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Namun sebelum tibanya 1 Syawal, sudahkah anda menunaikan salah satu daripada 5 Rukun Islam yang wajib dilaksanakan iaitu membayar zakat -- sebagaimana yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran:
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)
“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)
Daripada ayat-ayat Al-Quran di atas jelas tentang kewajipan untuk kita mengeluarkan zakat.
Walaupun zakat mempunyai pelbagai jenis zakat seperti zakat pendapatan, perniagaan, emas dan sebagainya -- namun 'Zakat Fitrah' adalah wajib dibayar sebelum 1 Syawal atau pada hari raya pertama.
Zakat fitrah adalah fardhu ain dan wajib ke atas semua umat Islam sama ada lelaki atau pun wanita yang berkemampuan membayar zakat.
Berikut adalah syarat-syarat wajib zakat fitrah:
- Sesiapa sahaja yang memiliki harta / makanan yang melebihi keperluan tanggungannya pada malam raya dan pagi raya
- Anak yang dilahirkan sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari
- Muallaf yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya wajib mengeluarkan zakat fitrah ke atas dirinya
- Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan
KADAR ZAKAT FITRAH 2020
Zakat fitrah dibayar melalui kaedah pemberian makanan asasi seperti beras. Kadar zakat fitrah adalah satu gantang Baghdad bersamaan 2.7kg beras atau senilai dengannya.
Kadar zakat fitrah juga bergantung kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.
Terdapat lima waktu pembayaran zakat fitrah.
- Wajib – Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
- Afdal – Sebelum sembahyang Hari Raya
- Sunat – Sepanjang bulan Ramadhan
- Makruh – Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal
- Haram – Selepas terbenam matahari 1 Syawal
Berikut adalah kadar zakat fitrah 2020 mengikut negeri-negeri seluruh Malaysia dan seiiring dengan keadaan terkini negara yang dilanda krisis pandemik COVID-19 -- pembayaran zakat dalam talian (online) adalah lebih sesuai dibuat ketika ini.
NEGERI | KADAR ZAKAT FITRAH (RM) |
---|---|
Perlis | 7.00 |
Kedah | 5.00, 7.00, 14.00, 21.00 |
Pulau Pinang | 7.00, 16.00 |
Perak | 7.00, 14.00, 21.00 |
Selangor | 7.00, 14.00, 21.00 |
WP Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan | 5.00, 7.00 |
Negeri Sembilan | 7.00 |
Melaka | 7.00, 14.00 |
Johor | 7.00, 10.00 |
Pahang | 7.00 |
Kelantan | 7.00 |
Terengganu | 7.00 |
Sabah | 6.00, 7.50 |
Sarawak | 7.00 |
LINK PEMBAYARAN ONLINE
Berikut adalah link pembayaran online zakat :-
- Selangor : fpx.zakatselangor.com.my
- Wilayah Persekutuan : zakat2u.com.my/payment/fast
- Kedah : jom.zakatkedah.com.my
- Perlis : bit.ly/2VMqN5L
- Penang : bit.ly/2Ko9zqj
- Kelantan : zakat.e-maik.my/v5/index.php
- Terengganu : bit.ly/2Vrxvz3
- Perak : ezakat.maiamp.gov.my/v4/
- Pahang : https://ezakat.muip.gov.my/appZv1/index.php
- N.Sembilan : bit.ly/3eEbyEB
- Melaka : bit.ly/2RVHb2E
- Johor : fitrah.maij.gov.my
- Sarawak : bit.ly/2zmhimp
- Sabah : bit.ly/3bucJo