"kitajaga.co" - Aplikasi Viral Padankan Bantuan Dengan Penerima Tanpa Kos Juta-Juta

TERKINI
July 09, 2021 - 02:34 PM


Selepas negara gempar dengan kibaran #BenderaPutih bagi membantu orang ramai yang terputus bekalan makanan dan barang keperluan harian, baru-baru ini muncul pula satu lagi inisiatif yang menyentuh hati rakyat Malaysia iaitu sebuah aplikasi yang dinamakan "KITAJAGA.CO".

Aplikasi tersebut dibangunkan oleh sekumpulan pakar perisian dan teknologi maklumat tempatan dengan membuat 'padanan' antara pihak yang "Perlu Bantuan" dengan "Ingin Bantu".

kitajaga.co yang sejak beberapa hari ini menjadi perbualan hangat netizen di media sosial semakin mendapat perhatian kerana aplikasi berkenaan ternyata sangat efektif dalam menyalurkan paparan maklumat pada peta mengenai lokasi individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan ditanda dengan bendera merah.

Sementara, pihak yang ingin menyalurkan dana berbentuk makanan dan kelengkapan harian dipaparkan pada peta sama serta ditanda dengan bendera biru, sekali gus memudahkan proses padanan bantuan.

Aplikasi itu digagaskan oleh Terato Tech, sebuah syarikat pembangun produk digital tempatan yang diasaskan oleh Reza Fahmi Razali serta menggunakan pemprograman aplikasi antara muka (API) Google.

Memetik laporan Berita Harian, Reza berkata cetusan idea untuk merintis usaha ke arah membangunkan aplikasi itu pada awalnya hadir hasil perbincangan dengan rakan sekerja, Jumaat lalu.

Selepas mendapat persetujuan bersama empat rakan lain, beliau berkata, mereka berhempas pulas menyiapkan kerangka dan membangunkan aplikasi terbabit, sepanjang hujung minggu.

Pengasas Terato Tech, Reza Fahmi Razali 

"Kami kendalikan ujian dulu bagi meneliti kestabilan aplikasi, sebelum melancarkan penggunaannya untuk manfaat umum mulai Isnin.

"Alhamdulillah, bantuan untuk mereka yang memerlukan dapat dipadankan, tetapi kami belum dapat 'track' (kesan) sama ada mereka sudah menerima bantuan atau tidak.

"Cuma, saya dapat makluman menerusi mesej di Twitter bahawa lapan individu sudah mendapat bantuan hasil aplikasi ini, malah ramai kawan dan ada YB (Yang Berhormat) turut membantu penduduk terkesan.

"Kami menerima sekitar 60,000 pelawat semalam (Selasa)," katanya kepada BH.

Reza berkata, usaha membangunkan aplikasi untuk kegunaan awam itu hanya memerlukan modal yang minimum, namun kos Google Maps API agak tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap Google Malaysia berupaya tampil membantu dalam memastikan aplikasi berkenaan dapat terus digunakan orang ramai.

"Kami juga merancang beberapa siri penambahbaikan untuk menyokong kapasiti pengguna yang ramai, selain mengoptimumkan kod aplikasi.

"Selain itu, kita ingin bangunkan cara untuk mengesahkan penerima sudah mendapat bantuan yang mencukupi dan ditanda dalam peta," katanya.

Sumber: Berita Harian & Kredit Gambar: Twitter Reza Fahmi Razali

Destination: