Rilek Je...Pendakwah Kontroversi, Zakir Naik Cari 'Calon Menantu' Di Facebook

TERKINI
September 27, 2021 - 03:14 PM


Jarang-jarang dekat Malaysia ni ada ibu bapa yang secara terang-terangan mencari jodoh buat anak mereka, kan...

Namun, itulah usaha yang dilakukan oleh seorang pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik yang membuat pengumuman mengenai pencarian calon isteri buat anak lelakinya, Fariq Naik.

Menerusi catatan di akaun Facebook miliknya, Dr Zakir memuat naik ciri-ciri wanita yang ingin dicarinya serta biodata anaknya bagi tatapan umum.

"Saya ingin mencari seorang isteri untuk anak saya Fariq, seorang wanita solehah, supaya kedua-dua mereka mampu menjadi kekuatan antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan bersama.

"Jika anda seorang bapa atau saudara kepada wanita yang ingin saya cari ini serta ingin dinikahkan dengan anak saya, saya dengan rendah diri meminta anda hubungi saya dengan maklumat yang diminta," kata Dr Zakir dalam catatan tersebut.

Setakat ini, catatan tersebut yang dimuat naik pada hujung minggu telah dikongsi semula sebanyak lebih 5,000 kali.

Dr Zakir turut meminta calon wanita yang berminat untuk menyenaraikan ciri-ciri yang dia inginkan dalam mencari seorang suami.

Selain daripada kuat agama, bakal isteri yang dicari Fariq juga perlu sanggup menetap di Malaysia.

Dr Zakir Naik merupakan seorang pemegang taraf Penduduk Tetap (PR) di Malaysia sejak 2012 dan kini difahamkan menetap di Putrajaya.

Sumber: Facebook Dr Zakir Naik

Destination: