Jom Makan Angin Di 3 Tarikan Terbaharu Kat Putrajaya Ni!

TRAVEL
March 18, 2022 - 01:33 PM


Peminat aktiviti riadah dan lasak di ibu kota sering kali memikirkan destinasi hutan belantara mahupun pesisiran pantai sebagai lokasi untuk menikmati suasana atau pengalaman percutian dekat dengan flora serta fauna.

Sedangkan ada pilihan lebih mudah dan selesa apabila terdapat tarikan atau destinasi tidak jauh dari ibu kota yang memberi pengalaman sama.

Apatah lagi di musim kes Covid-19 masih memuncak, perjalanan pendek dan akses mudah dengan fasiliti kesihatan yang baik menjadikan aktiviti bercuti lebih bermakna.

Kali ini, apa kata anda pilih destinasi bandar pula seperti tarikan yang ditawarkan di Putrajaya ini:

1. Glamping @ Wetland Putrajaya

Bagi mereka yang rindu atau ingin berjinak-jinak dengan aktiviti perkhemahan tarikan terbaharu seperti Glamping@Wetland Putrajaya (GL@W) boleh memberikan pengalaman yang sama.

Namun konsep perkhemahan di lokasi berkenaan lebih santai dan menyeronokkan apabila menyediakan kelengkapan khemah termasuk permaidani, kipas atau penyaman udara, 'hammock' dan tilam selesa seperti mana destinasi percutian yang tampil dengan konsep 'glamping' di lain-lain tempat.

Meskipun kedudukan kawasan percutian ini terletak tidak jauh dari pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan apabila ia dibangunkan dalam taman sedia ada iaitu Taman Wetland, penginap atau pengunjung yang berkhemah masih dapat menikmati suasana seperti berada dalam hutan.

Pada sebelah malam anda pasti ditemani bunyi unggas, amfibia mahupun serangga. Bagi menambah lagi 'mood' berada seperti dalam suasana perkhemahan sebenar, pengunjung boleh menyusuri laluan trek mengelilingi sekitar taman awam berkenaan.

Di sebelah siang pula, pengunjung boleh lebih bergerak aktif apabila menyertai beberapa tarikan di kawasan berhampiran, contohnya Taman Botani dan Pusat Rekreasi Air terletak kurang empat kilometer dari lokasi perkhemahan.

Lokasi sama turut sesuai untuk mereka yang mahu merasai suasana percutian dalam karavan atau rumah motor (motorhome) kerana terdapat tapak sesuai dengan keperluan pengalaman itu.

Mengambil kira sebagai lokasi mesra keluarga, terdapat pelbagai kemudahan dapat diakses pengunjung termasuk zoo haiwan peliharaan, taman permainan kanak-kanak, kolam memancing dan lain-lain.

2. Pantai Floria

Tarikan baharu ini juga mesti dicuba bagi peminat aktiviti rekreasi air. Selalunya suasana berpantai di nikmati kawasan pulau dan pesisiran laut, di Pantai Floria orang ramai menikmati suasana pantai di kawasan air tasik.

Pantai buatan sepanjang 100 meter dengan keluasan 600 meter persegi sangat sesuai untuk pengunjung yang membawa keluarga bersantai dan berkelah dengan akses mudah serta dekat dengan bandar.

Aktiviti selain berkelah dan mandi-manda ialah pengunjung boleh memancing kerana ada kemudahan atau kawasan sepanjang 150 meter disediakan bagi tujuan itu.

Tidak ketinggalan boleh juga lakukan aktiviti berkayak dan bermain bot kawalan jauh dengan kadar sewaan berpatutan. Selain pantai, terdapat trek rekreasi berbasikal dan larian berhampiran.

3. Tangga Putrajaya, Taman Putra Perdana

Tangga Putrajaya ini boleh menjadi trek latihan pendakian apabila menawarkan ketinggian kira-kira 30 meter dengan jarak 200 meter.

Ia juga mercu tanda terbaharu Putrajaya yang turut dinobatkan sebagai Tangga Terpanjang Di Taman Awam oleh Malaysia Book Of Record (MBOR) pada 20 Januari lalu.

Terdapat 250 anak tangga hingga ke kaki monumen mercu tanda berbentuk piramid setinggi 20 meter di puncaknya.

Tidak cukup dengan itu, satu lagi rekod dipecah apabila Perbadanan Putrajaya melaksanakan agenda Pemetaan Pencahayaan Terbesar pada hari berikutnya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Bulan Pencahayaan Putrajaya Januari lalu.

Menawarkan pemandangan indah di kawasan sekitar Taman Putra Perdana dari aras tinggi, landskap dan seni bina tangga itu sendiri sedia unik apabila terdapat elemen unik seperti 135 pokok tekoma yang berbunga merah jambu di kiri dan kanan jajaran tangga.

Tanaman dijangka menyuntik 'mood' pemandangan musim indah terutama apabila diletakkan di bahagian tengah-tengah tangga terbabit.

Sumber: Harian Metro

Destination: