Kat TikTok Rancak Jual Beli 'Cedok-Cedok', Sudahnya Semua Terciduk Bila Haram Hukumnya!

GAYA HIDUP
July 20, 2022 - 01:01 PM


"Macam best main cedok-cedok."

Begitulah tanggapan awal segelintir masyarakat terhadap urusan jual beli yang menjadi trend di aplikasi TikTok.

Menerusi jual beli secara langsung di TikTok, peniaga akan mempromosikan barang-barang yang hendak dijual kepada para pengikutnya.

Peniaga kemudiannya akan mencedok pelbagai jenis barangan yang diletakkan di dalam bekas yang lebih besar menggunakan senduk, bakul atau mangkuk.

Pembeli hanya menetapkan nilai atau harga belian, dan peniaga akan mencedok sekali atau beberapa kali. Barang-barang yang dicedok itu secara automatik menjadi milik pembeli.

Daripada gula-gula, makanan, aksesori, pencuci muka dan barang kosmetik termasuk emas kini dijual secara 'cedok', serendah RM5 sehingga RM1,000 untuk sekali cedok.

@sh_helinaaccessories Balas kepada @hakakmanis ♬ bunyi asal - SH Helina Accessories

Berdasarkan pemerhatian terdapat penjual meletakkan semua barang yang dijual dalam satu bekas selain ada juga yang mencampurkan barang yang tidak sepatutnya bagi memenuhkan 'isi' cedok berkenaan.

Pakar Syariah & Muamalat, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, menjual dengan cara tersebut adalah sama seperti jual beli gharar yang diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW.

@jajat_official87 fenomena cedok2 di Malaysia..#cedok2 ♬ bunyi asal - Abang Comel

Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) menegaskan bahawa kaedah tersebut sama seperti jual beli al-mulamasah yang diharamkan kerana begitu jelas terdapat unsur gharar fahisy.

Gharar bermaksud ketidakpastian yang mana ia merupakan elemen tidak patuh syariah.

"Rasulullah SAW melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah. (Sahih Bukhari dan Muslim). Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual.

"Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual dan tidak boleh lagi ada pilihan," tulis beliau di Facebook.

Jual beli sebegini, menurut Ibn Hajar al-Asqalani sebagai bentuk jual beli jahiliah.

Ahmad Sufian berkata, Imam Nawawi menyifatkan jual beli sebegini adalah batil iaitu tidak sah kerana mengandungi unsur gharar.

"Rasulullah SAW melarang keras bentuk jual beli gharar (Sahih Muslim). Gharar ialah jual beli yang mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah).

"Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian," katanya.

Terdapat gharar dalam 2 keadaan:

1) GHARAR 

Gharar wujud yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak.

2) GHARAR AL-SIFFAH 

Ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi.

Menurut Ahmad Sufian, cedok-cedok adalah sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar.

"Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.

"Hati-hatilah sama ada penjual atau pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan bisnes mahupun sengaja nak buat content.

"Mungkin ada orang kata, ala setakat jual RM5 gula-gula je. Oleh kerana by structure ia adalah gharar maka ia tetap haram," tegas beliau menerusi tulisan di Facebook.

Sementara itu, pendakwah bebas, PU Amin pula berkata, tidak salah untuk urusan jual beli menerusi aplikasi TikTok, tetapi perlu berpandukan hukum halal dan haram.

"Sebab itu kalau kita hendak berniaga, kita kena jauhkan daripada unsur-unsur gharar. Apa yang kita dapat lihat dalam cedok live ini terdapat unsur gharar fahisy yang sangat ditegah dalam Islam.

"Kita berniaga biar berkat, kita berniaga biar sedikit tetapi ada unsur-unsur yang halal dan unsur yang diredai oleh Allah SWT," katanya menerusi video di TikTok.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim berkata, walaupun hanya sekadar urusan jual beli gula-gula, tapi harus diingatkan bahawa sekecil-kecil itu tetap akan dihisab dan dihitung oleh Allah SWT.

"Jadi, kena jaga diri kita. Saya bukan nak kacau periuk nasi anda. Teruskan berniaga tetapi berniagalah dalam keadaan yang baik.

"Ia (jual beli secara cedok) ada unsur gharar fahisy kerana ada unsur ketidakpastian, ada unsur yang dicipta-cipta dan juga unsur penganiayaan.

"Jadi, tolong kawal diri daripada jual beli seperti ini. Moga Allah SWT reda," katanya.

@xtra_my Allahuakbar, pengajaran untuk semua sebelum kita beli apa-apa pastikan hukum halal dan haramnya dahulu 😰😢 #fyp #xtramy #trendingnewsmalaysia #cedoklive #puamin #tontonmy #beritaditiktok ♬ original sound - XTRA

Sumber: Mstar

Destination: