UiTM Pecat Serta-Merta Pensyarah Terlibat Soal Selidik Lucah, Pelajar Syukur Doa Makbul

TERKINI
September 30, 2022 - 11:52 AM


Universiti Teknologi Mara (UiTM) menamatkan perkhidmatan seorang pensyarahnya yang dikaitkan dengan soalan kaji selidik berunsur lucah kepada pelajar perempuan baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, UiTM berkata, pemecatan itu berkuat kuasa serta merta.

Institusi pengajian tinggi awam itu juga menegaskan mereka sentiasa mengambil serius sebarang dakwaan mengenai gangguan seksual terhadap bekas siswazahnya.

Sehubungan itu, kata UiTM, mereka melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].

Mengikut peruntukan tersebut, katanya, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas kakitangan yang melanggar peraturan, tatakelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM.

Mengulas lanjut, UiTM memberitahu mereka menjalankan siasatan yang teliti sejak 2021 bagi mengumpul semua bukti sebelum kesalahan dapat dibuktikan dan hukuman ditentukan.

"Setelah prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai serta dimesyuaratkan Jawatakuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, UiTM menamatkan perkhidmatan pensyarah terbabit berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah tersebut," kata UiTM.

Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor, katanya, juga sentiasa memberi peringatan secara berkala kepada warga pusat pendidikan terbabit berhubung Akta 605.

"Sekiranya ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, UiTM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan," tegasnya.

KRONOLOGI KES

Terdahulu, menerusi ciapan Twitter, wanita yang dipercayai pelajar berkenaan mendakwa kejadian membabitkan pensyarahnya itu berlaku sejak tahun lalu.

Dia turut berkongsi laporan polis yang dibuatnya serta tangkap layar perbualan dia bersama pensyarah terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

Antara lain pensyarah berkenaan meminta wanita terbabit menjadi responden kajian ‘Soal Selidik Kesedaran Seks Di Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi’.

Kajian itu antara lain meminta responden menyatakan jika mereka menggunakan alat mainan seks dan jika mereka terangsang dengan kajian itu.

Responden juga turut diminta menyatakan turutan imaginasi mereka dalam hubungan intim.

Bagaimanapun, pelajar terbabit sekali lagi menarik perhatian warganet apabila berkongsi kekecewaanya kerana sehingga kini belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa mahupun UiTM.

Carian juga mendapati pensyarah terbabit masih disenaraikan sebagai tenaga pengajar di salah sebuah kampus cawangan UiTM.

Pada 9 Sept lalu, Bukit Aman dilaporkan berkata, kertas siasatan kes terbabit telah dihantar balik ke Balai Polis Tangkak untuk “siasatan lanjut”.

Difahamkan siasatan lanjut sudah dilakukan dan kertas siasatan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Johor.

MANGSA BERSYUKUR DAN LAPANG DADA PENSYARAH 'LUCAH' DIPECAT

“Akhirnya doa saya termakbul”

Itulah reaksi bekas siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Farah Azuin Abdul Razak, 23 tahun selepas diberitakan pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadapnya, dipecat serta-merta.

Sebelum ini Farah didakwa meluahkan kekecewaannya selepas laporan gangguan seksual yang dibuatnya lebih setahun, berdepan jalan buntu.

Namun lewat petang semalam, pentadbiran UiTM di kampus induknya di Shah Alam mengeluarkan kenyataan menamatkan serta-merta perkhidmatan pensyarah terbabit.

“Saya gembira syukur sangat. Akhirnya doa saya terjawab…bukan doa saya seorang (tapi) doa dari mangsa mangsa lain. Syukur sangat,” beritahunya kepada FMT.

Sumber: FMT & Malaysia Kini

 

Destination: