Ini Ke Jam Viral Yang Disangka Rolex Emas Tu? Terus 'Sold Out' Ya Jam Ni!

TERKINI
September 06, 2021 - 07:28 PM


Tak pasal-pasal sebab viral yang dicetuskan oleh peguam kontroversi, Siti Kasim yang salah faham tentang jenama jam tangan dipakai seorang Menteri baharu, yang disangka Rolex -- menyebabkan jam tangan tersebut yang sebenarnya hanyalah jenama Buruj kini popular sehingga kehabisan stok!

Kecoh di media sosial sejak semalam di mana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad terpaksa menjawab dakwaan Siti Kasim mengenai jam tangan yang dipakainya adalah jenama mewah Rolex.

Bagaimanapun, Idris yang juga Naib Presiden Pas itu menjelaskan di Facebook miliknya bahawa beliau sudah lama memakai jam tangan Buruj yang mempunyai kelebihan waktu solat dan arah kiblat.

“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat & arah kiblat. Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” tulisnya di Facebook miliknya.

Disebabkan salah faham berkenaan yang kemudian mendapat perhatian netizen menyebabkan jam tangan Buruj tiba-tiba menjadi 'buah mulut' sehingga ada yang menyiasat harga sebenarnya hanya dijual sebanyak RM279 sahaja.

Malah disebabkan populariti secara tiba-tiba itu juga menyebabkan jam berkenaan kini telah kehabisan stok berdasarkan tinjauan di laman stor jualan, burujshop.com.

burujshop.com adalah stor jualan yang menjual, mengedar dan memborong jam tangan waktu solat dan arah kiblat serta beberapa model jam tangan bercirikan Islam daripada beberapa jenama yang terkenal dalam pasaran.

Buruj Watches telah mula menjalankan operasinya secara rasmi sejak tahun 2013, dan sejak itu mula berkembang sehingga kini menjadi pengedar tunggal bagi beberapa jenama jam yang mempunyai teknologi waktu solat dan arah kiblat di Malaysia.

Sementara itu, Siti Kasim juga dilaporkan telah membuat permohonan maaf di atas tuduhannya itu kepada Idris.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: