'Jangan Terburu-Buru Sekat Perjalanan Sebab Omicron' - WHO

TERKINI
December 01, 2021 - 02:08 PM


"Jangan terburu-buru dalam melaksanakan larangan perjalanan yang menyeluruh kerana ia tidak akan membendung penularannya".

Demikian nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada negara di seluruh dunia berhubung tindak balas atas kebimbangan mereka terhadap penularan varian baru Covid-19 iaitu Omicron.

Sebaliknya, WHO menyarankan kepada pihak berkuasa negara agar mengambil pendekatan berhemah berasaskan bukti dan risiko, termasuk kemungkinan menjalankan pemeriksaan atau mengenakan kuarantin terhadap penumpang antarabangsa.

WHO, dalam panduan terbarunya kepada pihak berkuasa dan para pelawat, menyatakan bahawa individu berusia lebih 60 tahun yang tidak lengkap divaksin atau tidak mempunyai bukti jangkitan lalu COVID-19 dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada seharusnya dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara kerana mereka lebih berisiko terjangkit dan meninggal dunia.

Sejak pertama kali dikenal pasti di selatan Afrika seminggu yang lalu -- varian baru itu mencetuskan kebimbangan global dan membawa kepada larangan perjalanan serta memperlihatkan perbezaan ketara antara usaha vaksinasi besar-besaran di negara-negara mewah berbanding kadar inokulasi yang sangat rendah di negara-negara membangun.

Pihak berkuasa di negara-negara di mana para pelawat berangkat, melakukan persinggahan dan tiba di destinasi -- masing-masing boleh menggunakan pendekatan berbilang lapisan untuk mengurangkan risiko bagi menangguhkan atau mengurangkan import atau eksport varian Omicron, menurut WHO pada Selasa.

"Langkah-langkah itu mungkin termasuk pemeriksaan penumpang sebelum melakukan perjalanan dan/atau sebaik tiba dan penggunaan ujian SARS-COV-2 atau kuarantin pelawat antarabangsa selepas menjalankan penilaian risiko yang menyeluruh," tambahnya.

Semua langkah seharusnya setimpal dengan risiko, had masa dan dikuatkuasakan berpandukan hak pelawat, menurutnya lagi.

"Larangan perjalanan menyeluruh yang dikuatkuasakan secara terburu-buru tidak akan mencegah penularan antarabangsa dan sebaliknya akan membebankan kehidupan dan mata pencarian," katanya.

Kira-kira 56 negara dilaporkan sudah melaksanakan langkah kawalan perjalanan yang bertujuan untuk melengahkan penularan Omicron di negara masing-masing setakat 28 November lepas.

Sumber: Berita MediaCorp

Destination: